
ANKARA, Turki – Tasik kelima terbesar di Turki yang merupakan sumber air semula jadi di wilayah Konya kini kering kontang akibat pemanasan global dan penurunan kekerapan hujan sepanjang tahun ini.
Tasik Aksehir yang seluas 54 kilometer persegi dan pernah mempunyai kedalaman air sehingga lima meter kini seperti padang jarak padang tekukur apabila sumber airnya mengering.
Ahli akademik Universiti Teknikal Konya, Tahir Nalbantcilar, memaklumkan terdapat lapisan tanah yang retak di tengah-tengah tasik itu.
Tahir mengatakan salah satu faktor utama pengeringan tasik itu adalah disebabkan pemanasan global.
Namun begitu, terdapat juga kepincangan sistem penggunaan air bagi sektor pertanian di kawasan sekitar yang menyumbang kepada kejadian ini.
Beberapa kolam air buatan manusia yang diwujudkan untuk tujuan pengairan ke tanah-tanah pertanian milik penduduk dengan benteng yang dibina di tebing sungai telah menyekat sumber air yang mengalir ke tasik ini.
Menurut beliau lagi sekiranya kerajaan tidak mengubah sistem penggunaan air semasa, mungkin mereka perlu mengucapkan selamat tinggal kepada tasik itu buat selama-lamanya.
Catat Ulasan