Misteri Vila Lama


Kisah ini berlaku pada tahun 1993. Aku ketika itu merupakan seorang guru yang terlibat dengan kem perkhemahan bina semangat untuk para pelatih perguruan.

Kem tersebut diadakan di Pulau Sayak, berdekatan Pantai Merdeka di Kedah. Kem berlangsung selama tiga hari, membabitkan para pelatih maktab dan institut perguruan dari Kedah dan Pulau Pinang. Aku terlibat sebagai salah seorang urus setia.

Pada hari ketiga, peserta diarah untuk memasang khemah di dalam kawasan hutan sekitar Pulau Sayak itu. Waktu mula pasang khemah hari sudah petang. Cuaca agak mendung ketika itu, ada tanda-tanda hujan akan turun. Aku bersama urus setia seramai 15 orang memantau kerja-kerja memasang khemah.

Mengikut jadual kursus hari ketiga itu, pada malam berkenaan, seramai 100 peserta akan ditempatkan dalam 10 khemah berbentuk segi tiga. Setiap khemah akan didiami 10 orang peserta.

Pada mulanya, jurulatih berat hati nak letak 10 peserta dalam sebuah khemah, bimbang berlaku kejadian tidak diingini. Maklumlah khemah itu terletak di dalam hutan. Jaraknya kira-­kira 100 meter dari kem perkhemahan. Namun, akhirnya dia benarkan juga pelatih bermalam dalam khemah yang telah dipasang.


Pesisir pantai Pulau Sayak, Kedah.

Namun malam itu, pukul 10.00 malam, hujan lebat turun. Kilat dan petir sabung­menyabung. Pihak urus setia diarah memanggil kesemua 100 peserta pulang segera ke kem.

Seramai 15 orang urus setia berpecah. Aku bersama dua urus setia yang lain dalam satu pasukan. Kami berlari meredah hujan lebat sambil membawa lampu suluh meredah suasana gelap gelita.

Sampai di khemah pertama, kami dapati khemah tersebut telah tercabut diterbangkan ribut. Kami beri arahan kepada para pelatih supaya terus pulang ke kem.

Kami kemudian bergerak untuk mencari pelatih lain. Lampu suluh yang dibawa tidak banyak membantu. Suasana begitu samar. Hujan lebat dan ribut terus membadai. Pokok­pokok bergoyang kuat.

Kami terus berlari mencari pelatih. Semasa sedang mencari khemah seterusnya, kami terjumpa jalan tar sempit. Kami terus menyusuri jalan tar tersebut meredah hujan lebat.

Jalan tar itu membawa kami mendaki ke puncak bukit. Setelah 15 minit mendaki, dalam kesamaran cahaya kilat kami ternampak sebuah vila setingkat tersergam di situ. Reka bentuk vila itu agak lama, seperti rumah orang kaya zaman dahulu.

Kami nampak ada sebuah kereta Austin diparkir di lamannya. Lampu dan televisyen terpasang. Bila kami jenguk ke dalam vila itu melalui tingkapnya, nampak perabot antik yang mahal harganya tersusun kemas.

Kami yang kesejukan terus beri salam beberapa kali, tetapi tidak ada orang yang menjawab. Tidak kelihatan sesiapa di dalam rumah yang besar itu. Hujan masih lebat dengan angin kuat. Kami terpaksa membuat keputusan berteduh di beranda vila berkenaan.

Kebetulan di tepi beranda itu ada tandas. Sebab risau diserang demam selsema bermandi hujan, kami bertiga bergilir-gilir mandi di dalam tandas itu.

Setelah itu, kami terus menanti di beranda vila itu, berbual-bual sementara menanti hujan reda.

Masa itu kami hairan juga, ke mana tuan rumah vila itu pergi? Sejak kami sampai, tidak kelihatan sesiapa pun. Pintu rumahnya sedikit terbuka, lampu menyala dan televisyen hidup. Anehnya tiada sesiapa di dalam rumah.

Walaupun pintunya tidak berkunci, kami tidak berani masuk ke dalam vila itu sebab nanti dituduh menceroboh rumah orang pula.

Jadi, kami terus bersembang di beranda sahaja. Kami langsung tidak terasa masa pantas berlalu. Hujan mula berhenti. Kami turun semula dan terus balik ke kem.

Sampai saja di kem, jurulatih bertanya ke mana kami menghilang. Semua pelatih sudah balik sejak awal tadi. Jurulatih juga hairan ke mana kami pergi. Hanya kami bertiga yang menghilang sejak pukul 10.00 malam tadi hingga larut malam.

Kata jurulatih, sudah puas urus setia lain mencari kami di segenap penjuru hutan itu tetapi tidak berjumpa. Hendak dikata tersesat, kawasan hutan itu tidak luas dan dekat dengan pantai.

Lalu kami ceritakan kepada jurulatih, kami berteduh di beranda sebuah vila di puncak bukit sementara menunggu hujan teduh. Kami beritahu juga, kami sempat menumpang mandi di tandas luar vila tersebut sementara menanti hujan reda.

Selepas mendengar cerita kami, jurulatih menggeleng­-gelengkan kepala. Beliau terkejut besar apabila mendengar cerita kami. Jurulatih itu memberitahu, bukan sembarangan orang boleh ‘jumpa’ vila berkenaan. Dia memberitahu, vila itu wujud sejak zaman kolonial dan sekarang hanya tinggal sisa runtuhan sahaja.

“Vila tu dah tak wujud lagi seperti yang kamu nampak tu,” begitulah kata jurulatih kami.

Aku memang terkejut besar, tambah pula bila jurulatih kami beritahu bahawa selepas ditinggalkan British, vila itu tidak diduduki sesiapa lagi hingga akhirnya menjadi usang dan hanya tinggal sisa-sisa runtuhannya sahaja.

Ketika dengar kata-kata jurulatih itu, aku rasa kecut perut. Seram pulak rasanya. Jurulatih kami itu memang orang lama di kawasan itu. Sudah tentu dia lebih tahu kisah vila itu.

Habis tu, vila siapa yang kami tumpang berteduh sebentar tadi? Dan air apa yang kami mandi di tandas vila itu?

Naik bulu roma kami bertiga bila memikirkan semula keanehan itu. Tak mungkin aku bermimpi sebab dua rakan lagi pun alami benda sama. Kami nampak jelas vila itu dan isi di ruang dalamnya. Bagaimana sebuah vila zaman kolonial yang kami jumpa dan berteduh dikatakan tidak wujud lagi?

Pulang dari kem perkhemahan itu, ada rakan-rakan guru lain yang sama-sama mengajar dengan aku bertanya, “Ada jumpa vila lama tak kat situ?”

Aku ceritakan, bukan setakat jumpa, malah aku sempat mandi dan melihat perabot antik dalam vila tu sekali. Terkejut guru-­guru yang mendengar cerita aku tentang vila tu. Kata mereka, bukan senang untuk orang boleh melihat ‘kewujudan’ vila lama itu.

Selepas kejadian aneh itu, aku tidak lagi pergi ke Pulau Sayak. Aku juga tidak pergi semula ke lokasi vila itu untuk melihat apakah benar vila itu hanya tinggal sisa runtuhan seperti yang diceritakan jurulatih malam itu.

Setahun selepas itu, aku dapat tahu ada seorang pelatih menemui ajal semasa menjalani kursus bina semangat. Sejak itu, perkhemahan bina semangat dihentikan dan telah diganti dengan Kursus Perguruan Pendidikan Luar.

Walaupun dah lama kisah itu berlaku, tapi sampai sekarang aku masih tertanya-tanya tentang misteri vila yang tersergam di puncak bukit itu. Masih jelas dalam ingatan aku bagaimana kereta Austin yang elok diparkir di lamannya, susunan perabot antiknya, lampu yang terpasang dan TV yang terbuka.

Apakah itu cuma halusinasi aku? Tapi, kalau aku bermimpi, takkan dua lagi rakan aku pun nampak benda yang sama. Atau ada sesiapa yang juga pernah nampak kewujudan vila lama itu?

Catatan : Mohamad Satir, Sungai Petani, Kedah.

 

0/komen