Kesempitan hidup memaksa tujuh sekeluarga di Kampung Bikan di sini tinggal di sebuah rumah daif yang serba kekurangan tanpa kemudahan tandas sejak 20 tahun lalu.
Pasangan suami isteri, Asri Arshad, 41, dan isterinya, Siti Zaharah Razali, 40, berkata, mereka tinggal di rumah berkenaan bersama lima orang anak berusia antara lima hingga 21 tahun.
Menurut Asri, dia mendiami rumah pusaka peninggalan datuknya itu sejak kecil dan dahulunya mempunyai tandas di luar rumah, namun telah rosak
Beliau tidak mampu untuk membaiki atau membina tandas baharu dan buat masa ini, mereka terpaksa menumpang tandas jiran. Bilik air yang ada turut digunakan sebagai tempat mencuci peralatan dapur.
Selain itu, isterinya hanya menggunakan dapur kayu untuk memasak dan hanya tiga bulan lalu beliau sekeluarga menerima sumbangan dapur gas daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Himpunan Anak Kedah Malaysia (Hakem).
Sehubungan itu, Asri berharap ada pihak yang prihatin untuk menghulurkan bantuan untuk membina bilik air dan tandas bagi kegunaan keluarganya.
Rumah ini juga tidak dilengkapi peralatan elektrik. Pada waktu malam atau hari hujan, mereka perlu menutup tingkap menggunakan kain atau kepingan zink.
Kata Asri, dia kini melakukan kerja-kerja kampung setelah diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan sejak setahun lalu.
Isterinya pula hanya bekerja mengambil upah membuat kuih dengan pendapatan harian sebanyak RM25.
Selain itu, mereka juga bergantung kepada anak sulung, Mohamad Hazrul Haikal, 21, serta anak kedua, Muhamad Hazrul Ikmal, 18, yang baru dua minggu bekerja di sebuah kilang kayu.
Menurutnya lagi, dua anak perempuan iaitu Norani Anisa, 12, dan Noranisah Shuhada,10, masih belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Labu Besar sementara anak bongsu, Mohamad Hazrul Hisham baru berusia lima tahun.
Tambah Asri, isterinya menerima bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan untuk perbelanjaan harian.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi anak mereka Muhammad Hazrul Haikal di talian 011-3167 6946 atau sumbangan melalui Agrobank 1007-5110-0012-9900 atas nama Siti Zaharah Razali.
Catat Ulasan