Ireland Utara didakwa menjadi ‘lokasi panas’ kejadian melibatkan objek terbang tidak dikenali (UFO) dengan terdapat peningkatan penampakan UFO di wilayah tersebut berbanding beberapa tahun sebelum ini.
Menurut Perkhidmatan Polis Ireland Utara (PSNI), pihaknya menerima lapan laporan daripada orang ramai yang mendakwa melihat UFO pada tahun ini, meningkat daripada enam laporan pada 2020 dan hanya empat pada 2019.
Laporan-laporan tersebut termasuk insiden berkaitan UFO, fenomena udara, fenomena udara tidak dikenali, cahaya aneh di langit, makhluk asing dan makhluk angkasa lepas.
Seorang jurucakap PSNI, Nick Pope berkata tiada sebarang siasatan dilakukan berkaitan insiden-insiden tersebut.
Menurutnya, pandemik Covid-19 mungkin menjadi penyebab kepada peningkatan laporan yang diterima memandangkan orang ramai lebih banyak menghabiskan masa di rumah.
Agak sukar untuknya menyatakan penyebab sebenar kepada peningkatan laporan yang diterima.
Covid-19 dan perintah berkurung mungkin memainkan peranan penting kerana orang ramai mempunyai lebih banyak masa di rumah untuk merakam kejadian-kejadian aneh seperti itu yang mungkin selama ini tidak pernah disedari mereka.
Tambah Pope, faktor lain mungkin kerana orang ramai mula mengikuti perkembangan berita UFO dari Amerika Syarikat di mana Pentagon kini mengambil serius isu tersebut termasuk melancarkan inisiatif berkaitan UFO.
Ini membuatkan mereka lebih cenderung untuk melaporkan sebarang kejadian luar biasa yang dilihat.
Catat Ulasan