Bilionair, Yusaku Maezawa menjadi pelancong Jepun pertama yang melawat Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Usahawan fesyen dan pengumpul seni berusia 46 tahun itu berlepas ke ISS dengan menaiki roket Soyuz dari Kosmodrom Baikonur di Kazakhstan kelmarin.
Maezawa bersama pembantunya, Yozo Hirano akan berada selama 12 hari di ISS untuk menyelesaikan sebanyak 100 tugasan termasuk menganjurkan kejohanan badminton di orbit Bumi.
Beliau ingin melihat Bumi dari angkasa lepas dan mahu merasai pengalaman graviti sifar.
Beliau juga mempunyai matlamat peribadi. Dia ingin tahu bagaimana ruang angkasa lepas akan mengubah dirinya, kata Maezawa sebelum berlepas ke ISS..
Kunjungan ke ISS itu dianggap sebagai bentuk latihan sebelum Maezawa menyertai ekspedisi mengelilingi Bulan dengan menaiki kapal angkasa milik syarikat SpaceX bersama bilionair, Elon Musk pada 2023.
Maezawa akan menjadi penumpang peribadi pertama menaiki kapal angkasa SpaceX menuju ke Bulan sekiranya rancangan itu berjaya.
Syarikat pengembaraan Space Adventures yang berpangkalan di Amerika Syarikat menyatakan, kos tiket pelancong ke angkasa lepas adalah antara AS$50 (RM 210.6 juta) hingga AS$60 juta (RM252.7 juta).
Pengasas syarikat penerbangan angkasa Blue Origin, Jeff Bezos dan bilionair, Richard Branson yang mengasaskan syarikat Virgin Galactic juga bersaing untuk memasuki era baharu pelancongan angkasa lepas.
Catat Ulasan