Beratus-ratus ribu orang lagi diarah duduk di rumah di utara China , menyertai jutaan penduduk yang dikenakan perintah berkurung paling ketat ketika pihak berkuasa bertungkus lumus cuba mengekang lonjakan tertinggi kes Covid-19 sejak 21 bulan lalu.
China melaksanakan strategi sifar Covid termasuk penutupan sempadan, kuarantin panjang dan perintah berkurung tersasar ketika Beijing bersiap sedia menyambut kehadiran beribu-ribu pelawat asing sempena Sukan Olimpik Musim Sejuk pada Februari 2022.
Bagaimanapun, pihak berkuasa berdepan kemunculan semula virus Covid-19 dengan 209 jangkitan dilaporkan hari ini sekali gus angka harian tertinggi sejak Mac 2020 apabila pandemik menjejaskan bandar Wuhan.
Lonjakan itu masih rendah berbanding gelombang kes koronavirus di Eropah dan Amerika Syarikat, namun mendorong pihak berkuasa melaksanakan sekatan paling ketat di bandar Xian, utara China di mana 13 juta penduduknya memasuki hari keenam berkurung di rumah.
Bandar-bandar berdekatan turut merekodkan kes Covid-19 yang dikaitkan dengan penularan terbaharu tersebut. Beratus-ratus ribu penduduk Yanan, yang terletak sekitar 300 kilometer dari Xian, diarah duduk di rumah, manakala banyak perniagaan ditutup.
Perintah berkurung di Xian adalah yang paling ketat di China sejak sekatan serupa dilaksanakan di Wuhan.
Bandar raya Wuhan mendirikan lebih 4,400 lokasi ujian saringan dan mengerahkan lebih 100,000 petugas untuk menguruskan pengambilan sampel terbaharu itu.
Bagaimanapun, peraturan larangan memandu dan kebenaran hanya seorang dalam setiap isi rumah keluar membeli barang makanan selang tiga hari menyebabkan ramai penduduk Xian menggunakan media sosial untuk meluahkan kekecewaan dan memintan bantuan makanan serta barangan asas lain
Menurut kata seorang netizen,beliau hampir mati kebulur. Tiada makanan di kejiranannya dan dia hampir kehabisan bekalan mi segera.
Catat Ulasan