Orang Melayu Pakar Dalam Pembuatan Besi


Suatu masa sebelum zaman kesultanan Melayu Melaka, Tanah Melayu sudah terkenal dengan kepakaran yang tersendiri terutama dalam bidang pembuatan besi.

Antara bukti yang dapat dilihat dengan jelas adalah peninggalan kesan sejarah di Sungai Batu, Kedah yang diabaikan dan kisahnya tiada tercatat dalam mana-mana silibus pendidikan rasmi.

Menurut Pengarah Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam, Ustaz Hasanuddin Yusof, disebabkan pembuatan besi dari Tanah Melayu ini cukup unik, bangsa Arab pun menempah pedang dari sini.

Pencatat Arab, Abu Dullaf al Muhalhil ada menyatakan dalam penulisannya tentang kewujudan sebuah tempat khas yang menempa besi untuk dijadikan pedang.

Pedang itu dinamakan seabagi Qala’i yang berasal daripada Qala’a. Qala’a yang dinyatakan merupakan nama tempat iaitu Kedah Tua.

Hasanuddin berkata demikian ketika menceritakan kehebatan orang Melayu dalam bidang pembuatan besi menerusi Perbincangan Rakyat Demi Melayu dengan tajuk ‘Keagungan Teknologi Melayu : 

Mampukah Kita Bangkit Semula?’.

Mengulas lanjut tentang pedang yang dihasilkan pada zaman kerajaan Kedah Tua, orang Arab bukan hanya cukup minat pada pedang Qala’i malah ada juga yang digelar sebagai pedang al-Hind yang unggul.

Pencatat Arab lain seperti al-Kindi pula menyebut pembuatan besi pedang Qala’i dari Kedah Tua terhasil daripada cantuman banyak jenis besi.

Dalam risalah al-Kindi, terdapat perbandingan yang ketara antara pedang Qala’i dengan pedang Yeman. Dari segi penghasilan, pedang Qala’i mengandungi campuran logam yang lebih halus.

Ini membuktikan orang Melayu genius dalam pembuatan besi kerana dengan elemen percampuran dan percantuman pelbagai jenis besi, satu pedang yang unggul dapat dihasilkan.

Tambah Hasanuddin, seorang lagi pencatat Arab, Muhammad al-Idrisi menulis tentang kewujudan banyak bengkel-bengkel besi bagi menghasilkan pedang di alam Melayu ini.

Tidak hanya pandai dalam menghasilkan pedang melalui percampuran pelbagai jenis besi malah orang Melayu dalam pencatatan Arab juga dikatakan pandai mengklasifikasikan jenis besi.

Selain itu, orang Melayu pada zaman itu dan mempunyai formula yang tersendiri dalam penghasilan campuran besi yang sukar didapati di tempat lain.

Sehubungan itu tidak pelik mengapa orang Arab sanggup datang ke Tanah Melayu semasa zaman Kedah Tua dan mendapatkan pedang Qala’i yang dibuat dengan penuh keunikan tersendiri.

 

0/komen