Selain daripada Odyssey Neo G8 (G85NB), Samsung turut mengemaskini rangkaian skrin monitor dengan memperkenalkan dua model baharu lain yang turut memfokuskan kepada hiburan, kreativiti dan produktiviti. Melaluinya, model-model yang diumumkan adalah Smart Monitor M8 dan High Resolution Monitor S8. Kedua-duanya adalah skrin monitor berprestasi tinggi yang mampu memberikan pengalaman yang baik buat pengguna menerusi beberapa ciri menarik.
Smart Monitor M8 menampilkan saiz skrin sebesar 32-inci bersama bezel yang nipis dengan diameter sekitar 11.4mm. Ia juga menawarkan panel UHD yang baik dengan gamut warna sRGB 99%, dan kecerahan puncak pada 400 nits. Turut melengkapinya adalah aplikasi TV pintar yang terbina secara terus di dalam monitor bagi membolehkan pengalaman berhibur dan bermain lebih menyeronokkan pada masa sama. Seterusnya, ia juga dilengkapi dengan Slimfit Cam bermagnet yang bergerak untuk pengalaman panggilan video yang jelas dan baik. Di samping, port sambungan USB-C Type-C yang membolehkan sambungan pengecasan mencapai 65W.
Smart Monitor M8
Seterusnya, High Resolution Monitor S8 (S80PB). Ia boleh didapati dalam dua variasi saiz iaitu 27-inci dan 32-inci. Panel UHD yang disertakan turut memfokuskan kepada pengalaman suntingan yang baik. Ini adalah sangat sesuai ditujukan khusus buat pereka grafik dan penyunting video. Di samping itu, ia turut menawarkan resolusi tinggi dengan gamut warna DCI-P3 mencapai 98% dan menerima persijilan bebas silau daripada Underwriters Laboratries. Lain-lain spesifikasi termasuklah – port USB Type-C yang menyokong pengecasan 90W dan port LAN bagi membolehkan pengguna mengecas komputer riba dan peranti mudah-alih tanpa dok tambahan.
High Resolution Monitor S8
Buat masa ini tiada sebarang maklumat berkaitan harga yang ditemui. Selain itu, turut tidak diketahui lagi bilakah monitor ini akan memasuki pasaran tempatan..
Catat Ulasan