Siri Xiaomi Smart Air Purifier 4 Turut Diumumkan


Xiaomi turut melancarkan siri Xiaomi Smart Air Purifier untuk pasaran global. Produk ini adalah penapis udara popular daripada Xiaomi yang mereka dakwa sebelum ini telah berjaya menjual sebanyak 16 juta unit di seluruh dunia.

Kali ini terdapat tiga model yang dilancarkan iaitu Xiaomi Smart Air Purifier 4 Pro, 4, dan 4 Lite.


Melalui model ini, Xiaomi menjanjikan udara yang lebih sihat, bersih, mengurangkan alergen dalam rumah sepanjang tahun dan setiap model berbeza ini boleh disesuaikan di ruangan berbeza bagi memastikan keseluruhan rumah sentiasa dapat menghirup udara segar.

Menurut Xiaomi, penapis mereka ini boleh menapis 99.97% kotoran dalam udara dan boleh menapis habuk bersaiz sekecil 0.3 mikron. Untuk model Pro, ia mempunyai penapis PM2.5 bersama dengan sensor PM10 yang boleh mengesan pelbagai saiz habuk berbeza. Kemudian dengan adanya ionizer terbina, habuk-habuk terapung juga dapat ditapis

Xiaomi dilihat lebih menekankan model Pro, kerana mempunyai kemampuan yang lebih hebat. Model Pro juga menyokong 500m3/h PCADR dan 185m3/h FCADR, yang boleh menapis udara di ruangan sebesar 40m2 dalam masa 15 minit sahaja. Skrin OLED yang lebih cerah turut ditawarkan untuk memudahkan pengguna melihat kualiti udara di dalam rumah masing-masing.


Memandangkan ini adalah variasi global, pengguna boleh tambatkan sahaja menggunakan aplikasi Mi Home dan boleh mengawal penapis udara ini menggunakan pembantu digital seperti Google Assistant atau Alexa. Xiaomi Malaysia menyatakan ia akan dijual di pasaran tempatan tidak lama lagi.


Xiaomi Smart Air Purifier 4 Lite dijual pada harga $199 (~RM834), 4 pula adalah $299 (~RM1253) dan model Pro dijual pada harga $399 (~RM1672). Harga jualan untuk pasaran tempatan akan diumumkan di masa akan datang.
 

0/komen