Culik Diri Sendiri, Minta Wang Tebusan


Seorang wanita dari Blackpool, England, dijatuhi hukuman penjara 34 minggu kerana merancang penculikannya sendiri.

Tertuduh turut bertindak menghantar gambarnya yang diikat pada kerusi sebagai muslihat untuk mendapatkan wang tebusan bagi membeli hadiah Krismas.

Leah Jumeaux, 20, menghantar gambar dirinya yang diikat pada kerusi dan duduk bersebelahan dengan sepucuk pistol dalam kejadian pada Oktober 2020.

Dia berpura-pura menjadi penculik dirinya sendiri, menghantar pesanan kepada bekas teman lelakinya dan meminta wang tebusan sebanyak £2,000 (RM11,320).

Jumeaux hadir di Mahkamah Majistret Blackpool pada September tahun lepas atas dakwaan memeras ugut dan penipuan dengan perwakilan palsu.

Tertuduh kemudian diikat jamin sebelum dibicarakan di Mahkamah Diraja Preston dengan membuat pengakuan bersalah untuk mengurangkan hukuman bagi kesalahan penipuan pada Jumaat lepas.

Susulan itu, dia dijatuhi hukuman penjara 34 minggu di sebuah institusi pesalah juvana dan diarahkan membayar pampasan terhadap mangsa sebanyak £156 (RM883). 
 

0/komen