Pihak polis telah berjaya mengesan seorang lelaki yang tiba-tiba mengamuk dan memaki pengguna jalan raya di persimpangan lampu isyarat berdekatan Centre Point Seremban di sini seperti yang tular di media sosial Fsebelum ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, lelaki berusia 38 tahun itu yang juga pemandu sebuah kenderaan jenis Perodua Alza telah hadir di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada pukul 8.30 pagi tadi untuk membantu siasatan.
Bertindak atas maklumat yang diperoleh, pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seremban telah menghubungi pemilik kenderaan jenis Perodua Alza tersebut sebelum dia hadir hari ini untuk tujuan siasatan lanjut.
Lelaki itu mengesahkan bahawa dia adalah individu yang terlibat dalam rakaman video yang tular dan hasil siasatan lanjut pemandu itu turut mengaku ketika kejadian pada 8 Februari lalu dia berada dalam keadaan tertekan serta gagal mengawal diri.
Menurut Nanda, lelaki itu merupakan seorang pesakit yang mempunyai rekod rawatan mental di Wad Psikiatrik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban dan masih menjalani rawatan susulan.
Jelas Nanda, tiada sebarang kecederaan dilaporkan ketika kejadian tersebut berlaku dan kes disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membuat galangan disebabkan kenderaan di atas jalan
Catat Ulasan