Denmark menjadi negara pertama di Eropah yang menarik balik pemakaian pelitup muka dan semua sekatan berkaitan Covid-19 bagi individu yang sudah divaksinasi penuh bermula kelmarin.
Pelonggaran itu berlaku ketika Denmark mencatatkan sekitar 40,000 hingga 50,000 kes baharu Covid sehari atau hampir satu peratus daripada 5.8 juta penduduk negara itu.
Bagaimanapun, pegawai kesihatan percaya angka itu akan menunjukkan penurunan tidak lama lagi.
Menurut wakil Institusi Penyelidikan dan Kesihatan Awam Denmark SSI, Tyra Krause,kemuncak jangkitan sudah berlaku di lokasi-lokasi ‘panas’ sebelum ini maka sekarang adalah masa sesuai untuk menghentikan semua sekatan dan kembali hidup normal.
Lebih 60 peratus rakyat Denmark telah menerima dos penggalak, sebulan lebih awal daripada jadual pihak berkuasa kesihatan tempatan berbanding purata anggota Kesatuan Eropah (EU) yang hanya mencatat bawah 45 peratus.
Pihak berkuasa kesihatan menganggarkan 80 peratus penduduk dilindungi daripada kesan serius Covid-19 termasuk mereka yang pernah dijangkiti virus tersebut.
Bagi mereka yang divaksinasi penuh, varian Omicron tidak memberikan gejala serius dan hanya mengalami simptom ringan.
Menurut Pakar Epidemiologi Universiti Roskilde, Lone Simonsen lagi,tindakan menarik semula sekatan berkaitan Covid-19 adalah wajar dan munasabah.
Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran bahawa keputusan Denmark adalah terburu-buru dan bakal memberikan impak buruk di masa hadapan.
Ketua pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata anggapan bahawa varian Omicron tidak berbahaya adalah sangat berbahaya.
Tegas Tedros,terlalu awal untuk mengisytiharkan kemenangan atau menyerah diri untuk hidup bersama virus ini.
Lebih banyak penularan bermakna lebih banyak kematian. Itulah kebenarannya walaupun ramai yang menganggap gejala ringan adalah situasi yang boleh diterima.
Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap keterujaan negara-negara kaya dengan kadar vaksinasi tinggi membuka pintu sempadan bakal mempengaruhi jiran-jiran mereka yang masih bergelut dengan pandemik untuk melakukan perkara sama.
Catat Ulasan