Konflik di antara Rusia dan Ukraine yang telah lama berlarutan akhirnya mencapai kemuncak apabila Presiden Rusia, Vladimir Putin semalam mengumumkan operasi ketenteraan khas ke atas Ukraine.
Putin berkata, operasi yang bukan bertujuan menduduki negara itu adalah bagi melindungi kumpulan pemisah di timur negara itu dan ‘melucutkan’ tentera jirannya yang pro-Barat.
Menurutnya beliau telah membuat keputusan operasi ketenteraan dalam satu pengumuman mengejut di televisyen sejurus sebelum pukul 11 pagi (waktu Malaysia).
Beliau kemudian mengecam apa yang disebutnya sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’ yang didalangi oleh Ukraine di timur negara itu serta dasar agresif Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara terhadap Rusia.
Untuk ini, pihaknya akan berusaha untuk mencapai pelucutan tentera dan de-Nazifikasi Ukraine.
Beliau juga berjanji akan membawa mereka yang telah melakukan banyak jenayah dan bertanggungjawab atas pertumpahan darah orang awam termasuk warga Rusia ke muka pengadilan.
Dalam pengumuman itu, pemimpin utama Rusia itu menggesa tentera Ukraine supaya ‘meletakkan senjata’ dan memberi jaminan bahawa mereka boleh ‘meninggalkan medan perang tanpa sebarang halangan’.
Kata Putin, beliau tidak mahu melaksanakan ‘pendudukan’ Ukraine, tetapi hendak melucutkan senjata tentera negara itu.
Tambahnya lagi ,barat yang cuba campur tangan urusan negaranya dan memberi amaran mereka mesti tahu bahawa tindak balas Rusia adalah segera dan akan membawa padah yang mereka tidak pernah tahu sebelum ini.
Tegasnya, beliau yakin askar dan pegawai Rusia akan melaksanakan tugas mereka dengan berani.
Bagaimanapun, Putin tidak menyatakan skop operasi ketenteraan atau sama ada ia akan terhad kepada timur Ukraine sahaja.
Seorang wartawan agensi berita AFP di ibu negara Ukraine Kiev berkata, dia mendengar bunyi letupan, kira-kira 30 minit selepas pengumuman Putin.
Letupan turut kedengaran di bandar Mariupol, timur Ukraine dan pelabuhan Odessa di Laut Hitam, demikian menurut beberapa koresponden AFP yang lain.
Bunyi letupan juga kedengaran di bandar raya Kharkiv yang terletak sekitar 35 kilometer (km) ke selatan sempadan Rusia.
Ukraine menutup ruang udaranya kepada pesawat awam, manakala Menteri Luar Dmytro Kuleeba mengumumkan bahawa Ukraine berdepan pencerobohan ‘berskala penuh’.
Sebelum ini, Barat menyatakan bahawa Rusia telah mengerahkan seramai 150,000 askarnya dalam formasi pertempuran ke sempadan Rusia-Ukraine, Belarus dan juga Semenanjung Crimea yang diduduki Moscow.
Kapal-kapal perang Rusia turut belayar di Laut Hitam.
Sementara itu, Ukraine pula mempunyai kira-kira 200,000 anggota tentera dan boleh memanggil sehingga 250,000 askar simpanan.
Jumlah pasukan Moscow bagaimanapun jauh lebih besar. Rusia mempunyai sekitar sejuta anggota keselamatan aktif, manakala persenjataannya telah dimodenkan sejak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Mengulas perkembangan mencemaskan tersebut, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden segera memberi amaran tentang ‘akibat buruk’ yang akan diterima Rusia dan berkata, dunia akan meminta Moscow bertanggungjawab atas tindakan tersebut.
Katanya, langkah Rusia itu akan menyebabkan ‘kehilangan nyawa dan penderitaan manusia pada skala besar’, manakala ketua NATO mengecam ‘serangan melulu dan tanpa provokasi’ Rusia ke atas Ukraine.
Dalam pada itu, di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ukraine menyeru badan dunia itu untuk melakukan segala yang mungkin untuk menghentikan perang tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan semalam bahawa tenteranya telah memusnahkan pangkalan-pangkalan udara dan sistem pertahanan udara tentera Ukraine, beberapa jam selepas Putin menyerang negara jirannya itu.
Menurut kata kementerian berkenaan dalam kenyataan, Infrastruktur ketenteraan di pangkalan-pangkalan udara tentera Ukraine tidak dapat beroperasi termasuk sistem pertahanan udara Kiev yang telah dimusnahkan.
Di pihak Kiev, tentera negara itu mendakwa telah menembak jatuh lima pesawat perang dan helikopter Rusia di timur Ukraine dekat rantau yang dikuasai pemberontak pro-Rusia
Catat Ulasan