Orang Selangor perlu tahu suatu ketika dulu kita ada seorang raja lagi alim yang menyebarkan akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah.
Dalam sejarah kesultanan Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor yang kelima amat dikenali sebagai seorang sultan yang warak dan selalu mendampingi para ulama. Sebelum itu, ada baiknya penulis menerangkan serba sedikit berkenaan sejarah kesultanan Selangor.
Kesultanan Selangor diasaskan sekitar tahun 1766 apabila salah seorang putera Daeng Chelak iaitu Yang Dipertuan Muda Johor-Riau kedua, yang bernama Raja Lumu ditabalkan sebagai Sultan Selangor yang pertama oleh Sultan Mahmud Shah, Sultan Perak ketika itu. Raja Lumu merupakan adinda kepada Raja Haji fisabilillah iaitu Yang Dipertuan Muda Johor-Riau keempat yang syahid terkorban ketika menentang tentera Belanda di Teluk Ketapang, Melaka. Apabila ditabalkan sebagai Sultan Selangor, Raja Lumu memakai gelaran Sultan Salehuddin.
Selepas kemangkatan Sultan Abdul Samad (Sultan Selangor yang keempat) pada tahun 1898, cucunda almarhum baginda yang bernama Raja Sulaiman ibni Raja Musa ibni Sultan Abdul Samad ditabalkan sebagai Sultan Selangor yang kelima pada tahun 1898 dengan gelaran Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Baginda diputerakan pada tanggal 11 September 1863, tetapi ada catatan ilmiah lain menyatakan pada tahun 1865. Bonda baginda bernama Raja Buntal Raimah binti Raja Barkat yang berketurunan kerabat diraja Riau-Lingga.
Baginda memerintah negeri Selangor selama 40 tahun sehinggalah kemangkatan baginda pada tahun 1938. Baginda merupakan moyang kepada DYMM Sultan Selangor yang memerintah kini iaitu DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj. Salah seorang putera Sultan Alauddin Sulaiman Shah iaitu Tengku Aris, Temenggung Selangor yang juga merupakan nenda saudara kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah baharu sahaja mangkat pada bulan Januari tahun lalu.
Sultan Alauddin Sulaiman Shah amat dikenali sebagai seorang sultan yang selalu mendampingi para ulama seperti Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatani, Shaykh Hj. Abdul Ghani Hj. Othman, Sayyid Abdul Aziz asy-Syami al-Masri, Sayyid Mahmud Arif al-Bukhari dan ramai lagi. Ulama yang selalu didampinginya ialah Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi. (Jangan terkeliru pula dengan Datuk Paduka Prof. Emeritus Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid).
Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdul Rahman al-Fatani merupakan kerabat diraja Patani yang dilahirkan di Bangkok, Siam, pada tahun 1876. Beliau mendapat pendidikan agama dengan para ulama Patani di Ban Sim Dip, Bangkok dan melanjutkan pengajian agama ke Makkah dan Mesir sehingga diberi kelulusan untuk mengajar di Masjidil Haram. Sekembalinya dari Makkah, beliau menetap di Jambi, Sumatera, membuka sebuah sekolah Arab di sana dan mengajar agama di sana.
Apabila Sultan Alauddin Sulaiman Shah mengetahui bahawa Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi berada di Jambi, baginda mencemar duli berangkat ke Jambi untuk menjemput sendiri Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi ke Selangor. Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi berangkat ke Klang pada tahun 1929. Sultan Alauddin Sulaiman Shah kemudiannya telah melantik Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi sebagai Penasihat Agama Negeri Selangor dengan gelaran Shaykh al-Islam Setia Diraja Selangor. Baginda Sultan Alauddin Sulaiman Shah begitu rapat dengan Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi sehingga Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi dijemput sendiri oleh baginda bersama-sama berangkat ke luar negara.
Atas didikan dan asuhan para ulama, Sultan Alauddin Sulaiman Shah ada menulis sekurang-kurangnya tiga buah kitab agama tulisan jawi berkenaan akidah tauhid, dakwah dan akhlak. Kitab-kitab tersebut ialah “Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman ,” “Nasehat (Pemilihan Guru) Melatih Kelakuan Perjalanan Adab Kanak-Kanak Pelajaran di Dalam Sekolah Melayu – Agama – Negeri Selangor Darul Ehsan ” dan “Kitab Tauhid, Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki dan Perempuan .”
“Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman ” disempurnakan penulisannya pada tahun 1337 Hijrah bersamaan tahun 1919 Masihi. Kitab tersebut membahaskan mengenai akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah Asyairah Maturidiah. Kitab tersebut telah diulang cetak dan diterbitkan sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali. Cetakan ketiga oleh Mathba’ah New Klang Press, Klang pada 15 Jamadilakhir 1349 Hijrah bersamaan tahun 1930 Masihi.
“Kitab Tauhid, Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki dan Perempuan ” yang disempurnakan penulisannya oleh baginda Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada tahun 1930 di Istana Mahkota Puri pula ialah sebuah kitab yang membahaskan tentang akidah dan sirah Rasulullah SAW. Kitab tersebut pernah diterbitkan semula oleh Syarikat Khazanah al-Fathaniyah di Kuala Lumpur pada tahun 2005 berdasarkan kitab yang dicetak oleh The Boon Hua Press di Klang pada tahun 1930M.
Kitab tersebut dibahagikan kepada 18 bahagian perbahasan. Antara cara penulisan dan penyampaian kitab tersebut adalah dalam bentul soal jawab dan nasihat dalam bentuk 22 rangkap puisi, sesuai dengan peringkat bacaan dan pemahaman orang awam. Kedua-dua buah kitab tersebut disemak, disahkan dan dipuji oleh Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi sendiri. Sebagaimana nama kitab tersebut: “Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki dan Perempuan ,” kitab tersebut pernah dijadikan buku teks bagi sekolah-sekolah agama di negeri Selangor.
Perkara tersebut membuktikan bahawa baginda Sultan Alauddin Sulaiman Shah bukan sahaja seorang yang mementingkan pendidikan agama dalam kalangan rakyat jelatanya, bahkan baginda turut berperanan menguatkan pegangan akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah di negeri Selangor selain menyebarluaskan dakwah. Penulisan kitab-kitab tersebut juga membuktikan bahawa baginda seorang yang alim dalam bidang agama dan diiktiraf oleh ulama sendiri.
Semasa pemerintahan Sultan Alauddin Sulaiman Shah, baginda telah mengarahkan pembinaan dua buah masjid jami’ iaitu Masjid Sultan Alaeddin di Jugra dan Masjid Sultan Sulaiman di Klang. Bukan itu sahaja, baginda juga sering menyampaikan khutbah solat Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha di masjid-masjid sekitar negeri Selangor. Ini membuktikan kredibiliti baginda yang bukan sahaja sebagai seorang pemerintah yang berdaulat, bahkan juga sebagai ketua agama Islam negeri yang sangat berwibawa. Baginda mangkat di Istana Mahkota, Klang dalam usia 72 tahun, dimakamkan di Klang dan diberi gelaran Marhum ‘Atiqullah.
Al Fatihah.
Catat Ulasan