Sebutir berlian gergasi dikenali sebagai ‘The Rock’ dipamerkan untuk pertama kali di Dubai , menjelang satu majlis lelongan di mana batu permata itu dianggar berupaya mencatatkan harga jualan mencecah AS$30 juta (RM126.3 juta).
Berlian seberat 228.31 carat (45.662 gram) berbentuk buah pear itu dilombong dan dicanai di Afrika Selatan lebih 20 tahun lalu.
Ia merupakan berlian putih paling besar pernah ditampilkan untuk lelongan, demikian menurut rumah lelongan Christie’s.
Selepas membuat penampilan sulung di Dubai dari 26 hingga 29 Mac ini, The Rock akan berada di Taipei, New York dan seterusnya, Geneva di mana ia akan dilelong pada 11 Mei ini.
Menurut kata ketua antarabangsa Christie’s, Rahul Kadakia,asia barat sentiasa menghargai kepentingan batu permata.
Rekod lelongan sebelum ini untuk berlian tidak berwarna terbesar adalah permata seberat 163.41 carat (32.682 gram) yang dijual mencecah harga AS$33.7 juta (RM141.89 juta) pada November 2017, demikian menurut Christie’s.
Pada awal tahun ini, Sotheby’s di London menjual Enigma yang merupakan berlian potong terbesar pernah dilelong dengan berat 555.55 carat (111.11 gram) pada harga AS$4.3 juta (RM18.1 juta).
Catat Ulasan