Honor Magic4 Dan Magic4 Pro Dilancarkan


Honor hadir dengan penawaran beberapa peranti pintar baharu. Melaluinya, Honor Magic4 dan Honor Magic4 Pro telah diumumkan secara rasmi, sekaligus menjadi peranti berspesifikasi mercu terkini daripada Honor.

Seperti sebelum ini, kedua-dua peranti turut sama mengutamakan kemampuan fotografi dengan fungsi cukup menarik. Bukan itu sahaja, prestasi peranti turut menerima penambah-baikan lebih baik menerusi penggunaan cip terkini daripada Qualcomm dan sistem pengecasan yang kini lebih pantas.

Honor Magic4 Pro dilengkapi skrin 6.81-inci LTPO OLED FHD+ dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Peranti juga hadir dengan binaan melengkung pada kedua-dua sisinya, sekaligus menjadikannya seakan tidak mempunyai bezel. Turut melengkapinya adalah ciri yang dinamakan sebagai Privacy Screen Compensation Sounding. Menurut Honor, ia membolehkan pengalaman panggilan suara lebih baik dapat dinikmati. Dengan teknologi ini, orang sekeliling tidak akan dapat mendengar setiap perbualan panggilan suara yang dibuat terutamanya di kawasan tertutup seperti dalam lif.



Peranti  ini juga dipadankan dengan pemproses Snapdragon 8 Gen 1, memori sehingga 12GB RAM (LPDDR5), storan dalaman mencapai 256GB (UFS3.1). Tidak ketinggalan, beberapa ciri tambahan lain seperti OS Turbo X, GPU Turbo X dan LINK Turbo turut turut dimuatkan dalam tubuh peranti ini untuk pengalaman penggunaan yang lebih optimum.

Seterusnya, bateri pula sebesar 4,600mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar dan nirwayar dengan kuasa output mencapai 100W. Honor mendakwa pengecasan berwayar ini mampu mengecas penuh peranti dalam masa 30 minit. Sementara itu, pengecasan nirwayar pula mampu mengecas peranti mencapai 50% dalam hanya 15 minit.


Kamera utama adalah sebesar 50MP (Ultra-lebar) yang dipadankan dengan sensor telefoto 64MP dengan zum sehingga 100X, lensa ultra sudut lebar 50MP, sensor 3D ToF dan sensor Multi-Spektrum. Melaluinya, kamera pada peranti berkebolehan menyokong zum optikal sehingga 10X, sementara itu zum digital pula sehingga 100X. Pada bahagian hadapan pula terdapatnya sokongan dwi-kamera swafoto 12MP + 3D ToF. Ia juga boleh digunakan untuk sistem menyah-kunci menggunakan wajah


Terdapat juga sistem rakaman video Magic-Log yang membolehkan proses video berkualiti filem dihasilkan pada sebuah peranti mudah alih. Bersama-sama dengannya, ia turut melepasi piawaian IMAX Enhanced bagi membolehkan paparan dengan kandungan warna dan resolusi yang sepatutunya boleh dinikmati. Tidak ketinggalan, kamera juga berkebolehan merakam video sehingga 4K HDR 10/60fps.


Honor Magic4 Pro turut sama dibekalkan dengan pembesar suara stereo bersama sokongan DTS X. Ia turut menjalankan antara muka MagicUI 6.0 berasaskan Android 12 yang turut menyokong Google Play Services. Lain-lain spesifikasi termasuklah port sambungan USB-C, infra merah, dan piawaian IP68.


Sebahagian besar penawaran pada Honor Magic 4 adalah sama seperti pada versi pro. Ini termasuklah saiz skrin, cip pemproses, pilihan memori dan kapasiti bateri. Apa yang membezakan kedua-dua peranti adalah tetapan untuk kamera dan juga kuasa output pengecasan yang disokong. Honor Magic 4 hadir dengan sokongan zum sehingga 50x, selain pengecasan pantas sehingga 66W sahaja.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Honor akan membawa masuk peranti ini untuk pasaran Malaysia.

0/komen