20 Orang Ditembak Mati Di Gelanggang Laga Ayam
Kumpulan lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya 20 orang dalam sebuah gelanggang laga ayam di Mexico kelmarin dalam insiden yang disifatkan Presiden Andres Manuel Lopez Obrador sebagai pembunuhan beramai-ramai melibatkan kumpulan penjenayah yang berseteru.
Serangan berlaku malam Ahad lalu di bandar Las tinajas dalam negeri Michoacan. Negeri di barat Mexico itu terjerumus ke dalam keganasan melibatkan pertempuran bagi merebut kawasan antara kartel dadah.
Pejabat peguam negara menyatakan, mayat 16 lelaki dan tiga wanita ditemui di lokasi kejadian dengan semua mereka memiliki luka akibat tembakan.
Seorang lagi mangsa meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital, manakala lima yang lain dirawat kerana kecederaan.
Pejabat keselamatan awam memberitahu, pihak berkuasa sedang berusaha untuk memburu mereka yang terlibat dalam kejadian tembakan gelanggang itu yang digunakan untuk perlawanan laga ayam, konsert dan tarian.
Lopez Obrador berkata, serangan itu adalah pembunuhan beramai-ramai sebuah kumpulan penjenayah terhadap kumpulan penjenayah lain.
Penyerang datang dan menembak hadirin, banyak kematian berlaku.
Mexico terperangkap dalam pertumpahan darah melibatkan kartel-kartel dadah sejak 2006 apabila kerajaan melancarkan operasi antidadah melibatkan tentera persekutuan.
Keganasan yang tercetus sejak dari itu telah meragut lebih 340,000 nyawa, demikian menurut angka rasmi kerajaan.
Sebilangan kartel dadah seperti Jalisco Generasi Baharu dan Los Viagras beroperasi di Michoacan dan bertempur untuk menguasai kawasan strategik.
Catat Ulasan