SABAN tahun Kampung Betong dan Kampung Kuala Kerik yang terletak di Mukim Jeneri, dalam Daerah Sik, Kedah, menjadi tumpuan ramai bukan saja penduduk sekitar negeri itu dan berhampiran tetapi juga Perak, Selangor serta Kuala Lumpur.
Alam semula jadi yang masih terpelihara selain kesegaran pelbagai jenis buah-buahan tempatan terutama durian dan dokong menggamit kehadiran orang luar ke kampung yang dibuka sekitar 1920-an itu.
Bagi mereka yang pernah menginap di kampung dengan bilangan penduduk kira-kira 1,000 orang itu, kedinginan pagi yang diselaputi kabus sejuk menusuk hingga ke tulang cukup menggambarkan betapa aslinya flora dan fauna yang masih terjaga rapi.
Pada musim buah yang bermula Jun dan Julai, peminat raja buah 'menyerbu' ke sini untuk mencari buah terbaik sama ada jenis durian kampung seperti kunyit, kepala gajah, belimbing ataupun mencari musang king, D2, udang merah dan pelbagai lagi.
Tidak ketinggalan peminat durian itu sendiri sanggup turun ke kawasan itu untuk memilih dan membeli buah terbaik yang berkenan di hati pada harga sangat berpatutan.
Selain durian, kawasan kampung itu juga menawarkan pelbagai jenis buah-buahan lain antaranya dokong, cempedak, nangka, rambutan, kuinin dan pisang.
Pada musim kemarau pula iaitu bermula Disember hingga Februari, sekali lagi kawasan itu menjadi tumpuan terutama buat pengunjung yang mahu berendam dalam sungai ketika cuaca terik melanda.
Di kampung ini terdapat sungai yang sudahpun tular sejak beberapa tahun lalu. Sebut saja Sungai Viral, ramai mengetahui kewujudannya terutama di media sosial.
Terdapat dua sungai menarik di sini iaitu Sungai Muda dan Sungai Kerik. Pada musim kemarau, air kedua-dua sungai ini jernih dan keadaan sungai yang cetek di beberapa tempat memberi peluang kepada orang ramai untuk mandi- manda, berkelah serta melakukan aktiviti santai bersama keluarga.
Bagi kaki pancing, sungai ini menjanjikan pengalaman menarik malah bila tiba musim ikan lampam, pasti pulang dengan gembira. Selain itu terdapat juga ikan kaloi, baung dan sabarau.
Sebelum ini orang luar mengenali kampung itu dengan keenakan buah durian dan dokong namun sejak 2017 kunjungan bertambah selepas terkenalnya Sungai Viral.
Kawasan sungai yang cetek, batu semula jadi unik dan cantik serta tidak berbahaya, tempat untuk berkelah selain air jernih antara tarikan yang menggamit kehadiran pengunjung.
Kehadiran pengunjung juga adalah rezeki buat penduduk dengan berniaga makanan dan minuman.
Pelbagai kemudahan dirancang di kawasan sekitar Sungai Viral ini antaranya membuat titi (jambatan) gantung yang merentasi sungai ini.
Selain itu kemudahan tandas, tempat untuk berniaga, tempat persalinan lengkap juga antara yang dirancang .Ini adalah kerana antara 150 orang ke 200 pengunjung mengunjungi Sungai Viral setiap hari.
Kawasan sungai ini memang sesuai untuk semua golongan mandi manda, berkelah dan beriadah bersama keluarga dan kita berharap lebih banyak kemudahan disediakan.
Begitu juga dengan aktiviti membakar ikan dan ayam untuk dimakan bersama sayur dan ulam kampung seperti daun selom, pucuk paku, pucuk ubi rebus dan pegaga yang diambil di sekitar rumah dan sungai
Setiap kali kemarau tiba, ini adalah antara aktiviti keluarga yang dapat di lihat . Sambil makan dan mandi, anak-anak pula boleh menangkap anak udang dan ikan di sungai ini.
Catat Ulasan