Redmi Note 11 Pro+ 5G Kini Di Malaysia


Kini Xiaomi Malaysia ingin kembangkan lagi penawaran Redmi Note 11 dengan memperkenalkan model Redmi Note 11 Pro+ 5G pula.

Jika dilihat spesifikasi peranti ini, ia adalah lebih kurang sama sahaja dengan Redmi Note 11 Pro 5G yang sebelum ini. Skrin adalah AMOLED 6.67″ FHD+ dengan sokongan kadar segar semula tinggi 120Hz, kamera juga sama 108MP+8MP+2MP daripada sensor sudut lebar, sudut ultra lebar dan makro. Kamera swafoto juga sama iaitu sensor 16MP. Tetapi pilihan memori tiada lagi 6GB RAM, hanya 8GB RAM dengan storan mencapai 256GB berasaskan UFS 2.2. Pilihan penggunaan kad mikroSD sehingga 1TB turut disertakan.



Peranti ini menawarkan cip yang di atas kertas lebih berkuasa iaitu Dimensity 920 6nm berbanding Snapdragon 695. Ia juga menyokong rangkaian 5G, masih menyertakan sensor infra merah, NFC dikekalkan dan turut menyokong Bluetooth 5.2 dan WiFi 6. Untuk sekuriti ia menggunakan pengimbas cap jari di sisi merangkap butang kuasa dan untuk perlindungan daripada air adalah IP53 serta skrin dengan Gorilla Glass 5. Rekaan peranti juga masih serupa dengan Pro 5G sebelum ini.


Untuk audio, Redmi Note 11 Pro+ 5G menggunakan pembesar suara JBL dengan Dolby Atmos, menyokong Hi-Res Wireless dan bicu audio 3.5mm. Kelebihan paling menarik perhatian pada peranti ini adalah, ia merupakan peranti Redmi pertama di Malaysia dengan pengecasan pantas HyperCharge 120W. Tetapi kapasiti bateri direndahkan daripada 5000mAh kepada 4500mAh.


Peranti ini menjalankan MIUI 13 berasaskan Android 11 dan bukannya Android 12 – sedikit mengecewakan di sini. Xiaomi Malaysia turut mendedahkan harga jualan peranti ini iaitu RM1,499 untuk 8/128 GB dan RM1,599 untuk 8/256 GB. Jualan akan bermula pada 6 April di Lazada dan Shopee. Mereka yang terawal akan berpeluang membeli dengan potongan harga RM100.


0/komen