
SEJAK kebelakangan ini, minat masyarakat dilihat mula terarah kepada aktiviti luar yang jauh daripada kesibukan kota.
Salah satu aktiviti luar yang semakin menjadi kegilaan masyarakat adalah perkhemahan sama ada di kawasan hutan, jeram mahupun tepi pantai.
Disebabkan permintaan yang semakin tinggi untuk aktiviti tersebut, seorang pengusaha, Rohana Hanafi, 34, terpanggil membangunkan tanah miliknya di Kampung Ruat, Yan, Kedah menjadi tapak perkhemahan.
Tapak perkhemahan yang diberi nama Caribbean Campsite itu terletak di tepi pantai, menjadikan suasananya cukup mendamaikan kepada pengunjung.
Tapak perkhemahan seluas 0.28 hektar itu berkonsepkan ala pantai Caribbean di Amerika Tengah dengan pasir memutih, dikelilingi pohon kelapa.
Tapak perkhemahan ini mula dibuka pada pertengahan 2020. Beliau membuka tempat ini disebabkan permintaan tinggi aktiviti perkhemahan ketika dan selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).
Tapak perkhemahan ini terletak betul-betul di tepi pantai dengan panorama Selat Melaka di depan dan Gunung Jerai di belakangnya.
Caribbean Campsite mampu memuatkan sehingga 20 buah khemah dengan kapasiti pengunjung sehingga 40 orang pada satu-satu masa.
Para pengunjung ditawarkan dengan pelbagai kemudahan yang diperlukan seperti tandas, bilik mandi, plug elektrik, lampu serta ruang parkir.
Tempat perkhemahan ini lengkap dengan segala kemudahan asas. Jadi, pengunjung perlu membawa khemah serta barangan sampingan lain seperti kipas dan peralatan masak.
Menurut pengusaha itu lagi, pihaknya menyediakan meja dan kerusi untuk berehat atau menjamah hidangan. Juga turut menyediakan ruang berteduh serta buaian untuk tetamu.
Pada musim angin timur, Caribbean Campsite terpaksa ditutup sementara memandangkan kedudukannya yang menghadap laut, sekali gus meningkatkan risiko dilanda ribut.
Mengenai aktiviti ditawarkan di tempat perkhemahan itu, pengunjung boleh beristirahat sambil menikmati pemandangan matahari terbenam.

Beliau menambah, pengunjung juga berpeluang memancing, menjala ikan di tepi pantai atau bersiar-siar di kawasan sawah padi berhampiran.
Bagi mereka yang minat memancing, boleh mencuba nasib. Macam-macam ikan ada di sini. Kalau tiada, mereka boleh menjala di sungai yang terletak berhampiran.
Kawasan ini juga letaknya tidak jauh dari tempat nelayan berlabuh. Jadi, pengunjung boleh mendapatkan makanan laut segar seperti udang, sotong dan ikan.
Mengenai perancangan masa depan,pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk memperbesar tempat tersebut dengan mempelbagaikan kemudahan penginapan.
Kawasan pantai sekitar Ruat semakin berkembang dengan ramai pemilik tanah mula menawarkan pelbagai jenis kemudahan penginapan seiring kehendak pelawat.
Salah seorang pengunjung, Shahrul Ambri Samsuddin, 35, berkata, Caribbean Campsite merupakan sebuah tapak perkhemahan yang menarik.
Pemuda menetap di Alor Setar itu berkata, sepanjang dua hari satu malam di situ, dia berasa cukup seronok dapat berkhemah bersama rakan-rakan.
Ini kali pertama beliau berpeluang datang ke sini. Ternyata tempat perkhemahan ini lengkap dengan kemudahan serta bersih. Paling penting, pemandangan di sini tidak menghampakan.
Kalau ikutkan, dua hari satu malam tidak cukup untuk menjelajah semua tempat menarik di sekitar Ruat..
Catat Ulasan