Panjat Turun Bangunan 37 Tingkat


Seorang lelaki di Guiyang, China mendapat jolokan Spiderman sebenar selepas dia memanjat turun bangunan setinggi 37 tingkat, tular di media sosial.

Saksi-saksi yang berada di jalan dan bangunan bersebelahan, sangat terkejut melihat  keberanian lelaki tersebut.

Lelaki berpakaian baju-T berwarna putih, seluar jeans gelap, stokin putih dan berkaca mata itu meniti di pinggir balkoni lalu  memanjat pagar tingkap untuk turun ke bawah.

Anggota-anggota bomba telah dipanggil ke tempat kejadian tetapi sebaik sahaja lelaki itu melihat kelibat pihak berkuasa, dia mula turun ke bahagian luar bangunan.

Dia dipercayai memanjat turun  sejauh lebih 100 meter dan menolak bantuan bomba yang mengekori rapat setiap pergerakannya.

Namun,  ‘adiwira’ itu akhirnya mengaku kalah semasa di tingkat tiga apabila dia meminta anggota-anggota bomba menariknya masuk semula ke dalam bangunan.

Lelaki itu telah dibawa ke ba­lai polis tempatan,  namun tiada laporan mengenai motif perbuatannya.

Media tempatan membuat spekulasi bahawa dia mungkin mengalami episod tekanan mental sementara sebilangan yang lain percaya bahawa dia cuba melarikan diri daripada  perintah berkurung Covid-19.
 

0/komen