ASUS ExpertBook B7 Flip Dengan Sokongan 5G Kini Di Malaysia


Siri komputer ASUS ExpertBook cukup dikenali di kalangan eksekutif profesional sebagai pilihan komputer riba yang bukan sahaja padat, nipis dan ringan, tetapi juga dilengkapi dengan komponen-komponen yang membuatkannya sebuah komputer riba terbaik untuk produktiviti yang boleh dibawa kemana-mana.

ASUS Malaysia kini mengesahkan bahawa beberapa model komputer riba ExpertBook ini akan ditawarkan di Malaysia, termasuklah ASUS ExpertBook B7 Flip, ASUS ExpertBook B3 Flip dan ASUS ExpertBook B3 Detachable.


Bermula dengan ASUS ExpertBook B7 Flip, komputer riba ini hadir dengan paparan skrin sesentuh bersaiz 14 inci dengan resolusi QHD+ (2560×1600) dengan nisbah paparan 16:10 dan dikuasakan oleh CPU Intel Alder Lake dengan pilihan memori DDR5 sehingga 64GB dan storan SSD PCie 4.0 sehingga 2TB.

Seperti pada namanya, paparan komputer riba ExpertBook B7 Flip ini boleh dipusing 360 darjah untuk membolehkannya digunakan sebagai sebuah tablet ataupun dalam mod khemah untuk tujuan menonton kandungan.

Rangka komputer riba ini diperbuat daripada logam magnesium-aluminum yang membolehkannya hadir dengan berat 1.47kg sahaja. ASUS turut menjanjikan jangka-hayat bateri sekitar 11 jam dengan pengecasan penuh, dan dengan pilihan palam Thunderbolt 4, komputer riba ini boleh dicas dengan cepat, dan memudahkan penggunaan paparan luaran untuk mereka yang memerlukan skrin yang lebih besar.

Selain daripada itu, komputer riba ini juga tampil dengan sokongan untuk sambungan WiFi 6E dan juga 5G dengan slot kad SIM terbina.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa ASUS ExpertBook B7 Flip ini sudah mula ditawarkan di pasaran tempatan pada harga permulaan RM8499.

0/komen