Bangkai sebuah kapal Amerika Syarikat (AS) yang tenggelam pada kedalaman paling jauh ke dasar laut berjaya ditemui selepas hampir 80 tahun ‘terkubur’.
Kapal tersebut adalah Pengiring Pemusnah USS Samuel B. Roberts yang akhirnya ditemui di Laut Filipina oleh sekumpulan anggota penyelidik.
Ia tenggelam ke dasar laut hampir 78 tahun lalu di Lautan Pasifik Barat dan telah membingungkan para penyelidik yang ‘memburu’ serpihan bangkai kapal tersebut selama berdekad-dekad.
Individu yang bertanggungjawab menemui USS Samuel B. Roberts ialah Victor Vescovo pada 22 Jun lalu.
Dia menjumpai kapal tersebut yang telah terputus kepada dua bahagian, pada kedalaman 6,894 meter di dasar laut, iaitu lebih 914 meter lebih tinggi daripada puncak Gunung Kilimanjaro.
Penjelajah tersebut menyelam ke bahagian bawah bersama juruterbang dan pakar sonar, Jeremie Morizet untuk mencuba dan mengesan bangkai kapal dari setiap sudut.
Selepas turun enam kali dalam tempoh lapan hari, pasukan itu mendapati kedua-dua bahagian kapal itu berada pada jarak 10 meter antara satu sama lain.
Menerusi penemuan ini, mereka berpeluang untuk menceritakan semula kisah kepahlawanan anak-anak kapal itu kepada mereka yang mungkin tidak mengetahui tentang kapal dan pengorbanan mereka.
Menurut kata Vescovo lagi ,kapal kecil ini menentang Tentera Laut Jepun yang terbaik dan melawan mereka hingga ke saat akhir.
Kapal perang yang luar biasa itu dianggap telah ditenggelamkan oleh kapal Jepun semasa Pertempuran Samar pada tahun 1944.
Catat Ulasan