Menjelajah Ladang Buah Tropika


SEMPENA cuti sekolah pada minggu ini, ramai ibu bapa yang merancang untuk membawa anak-anak pergi bercuti ke tempat-tempat menarik.

Bagi sesetengah ibu bapa, mereka bukan sahaja mementingkan tempat pelancongan yang menyeronokkan, bahkan mampu memberi ilmu kepada anak-anak secara tidak langsung.

Salah sebuah tempat percutian yang menawarkan ‘pakej’ sedemikian ialah Labis Sunrise Farm (LSF) di Labis, Johor. Terletak hampir 10 kilometer dari pekan Labis, LSF sentiasa menjadi tumpuan pelawat.

Pengurus LSF, Tang Qian Wei berkata, tempat berkenaan merupakan kawasan percutian serta penginapan berkonsepkan farm stay atau tinggal di dalam ladang.

LSF bukan sahaja terletak jauh dari kesibukan kota, malah menawarkan pelbagai tarikan dan aktiviti yang sesuai buat semua peringkat umur termasuk kanak-kanak.

Menurutnya,tempat ini mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2015. Ia sebuah tempat percutian dan penginapan yang terletak di atas bukit pada ketinggian 300 meter dari aras laut.

Pada mulanya, tempat ini merupakan sebuah ladang buah-buahan tropika. Kemudian, pihaknya membangunkan tempat penginapan ini untuk pelawat.

Pihaknya menawarkan 150 buah bilik yang dikelaskan kepada empat jenis iaitu twin sharing room, quad sharing room, family room dan suite room.

Setiap bilik bukan sahaja dilengkapi dengan kemudahan, malah dinding-dindingnya dihiasi mural bagi memberi rasa selesa kepada pelawat.

Setiap bilik penginapan  berbeza dari segi kapasiti. Namun kesemuanya dilengkapi kemudahan seperti pendingin hawa, televisyen, pemanas air, katil dan tuala.

Pihaknya juga menyediakan aktiviti santai kepada pelawat seperti bilik karaoke, meja pool, catur dan basikal. Harga bilik bermula RM118 semalam.


LSF turut menawarkan 150 buah tapak perkhemahan yang dilengkapi kemudahan tandas dan lampu. Ia amat sesuai buat mereka yang ingin tinggal lebih dekat dengan alam semula jadi.

Menariknya, LSF menyediakan sebuah lokasi khusus di kawasan penginapan bagi memudahkan pelawat menikmati pemandangan indah matahari terbit, tanpa perlu mendaki atau berjalan jauh.

Salah satu aktiviti yang menjadi tumpuan para pelawat di LSF adalah menjelajah ladang buah-buahan menggunakan bas mini atau kenderaan pacuan empat roda.

Sepanjang aktiviti itu pelawat berpeluang mengenali pohon tropika selain didedahkan dengan ilmu pertanian seperti membajak tanah dan memetik buah.

Di sini, pihaknya  mempunyai pelbagai ladang buah-buahan seperti jambu air, nangka, cempedak, pinang, durian, jambu batu, pisang dan rambutan dan limau barli.

Di kawasan ladang juga, pihaknya menempatkan kolam mandi, zoo mini dan kawasan permainan berpasir. Ia amat sesuai kepada pelawat yang datang bersama keluarga.

0/komen