Disuntik Guna Satu Picagari


Seorang pegawai kesihatan di India disiasat kerana memberi suntikan vaksin kepada 30 pelajar sekolah dengan menggunakan hanya satu picagari.

Insiden itu berlaku di sebuah sekolah di daerah sagar, negeri Madhya Pradesh di mana kanak-kanak menerima suntikan vaksin Covid-19.

Kementerian Kesihatan India mewajibkan protokol ‘satu jarum, satu picagari, hanya sekali’ untuk semua vaksin Covid-19. India setakat ini telah mengedarkan lebih 2.03 bilion vaksin tersebut.

Picagari pakai buang dan sekali guna digunakan secara meluas di India untuk mengelakkan penyebaran penyakit maut seperti virus kurang imun (HIV). 

Bagaimanapun, terdapat beberapa insiden pada masa lalu di mana satu picagari digunakan semula di hospital untuk mengatasi masalah kekurangan peralatan.

Pegawai kesihatan, Jitendra Rai yang menyuntik vaksin kepada 30 kanak-kanak tersebut memberitahu bahawa dia hanya diberikan satu picagari oleh jabatan kesihatan dan hanya menurut arahan pihak atasan.

Sebilangan ibu bapa yang menemani anak-anak mereka untuk mendapatkan vaksin melihat isu itu dan melaporkannya kepada pihak sekolah.

Apabila pegawai negeri tiba di sekolah tersebut, Rai telah hilang dari sekolah dan telefonnya dimatikan.

Jabatan kesihatan negeri kemudian melaporkan kes kecuaian terhadap Rai. Jabatan itu juga memulakan siasatan terhadap pegawai yang bertanggungjawab menghantar peralatan untuk vaksinasi tersebut. 
 

0/komen