Jaket Aldrin Dilelong


Sehelai jaket yang dipakai angkasawan Amerika Syarikat (AS), Buzz Aldrin semasa penerbangan menuju ke Bulan dengan menaiki roket Apollo 11, dijual pada harga AS$2.7 juta (RM12 juta) dalam satu lelongan di New York semalam, kata Sotheby’s.

Jaket putih dihiasi bendera AS, akronim NASA, tampalan misi Apollo 11 dan nama E. ALDRIN merupakan sebahagian daripada koleksi peribadi milik angkasawan berusia 91 tahun itu yang diputuskan untuk dijual.

Menurut kata Sotheby’s lagi,pakaian jarang sekali kelihatan itu dibida berbilang pembeli hampir 10 minit sebelum dijual kepada seorang pembida yang melakukan bidaan menerusi telefon.

Menurut Aldrin ,selepas pertimbangan mendalam, sekarang adalah masa sesuai untuk berkongsi barangan ini bersama dunia yang mana kepada ramai orang, ia menjadi simbol detik bersejarah tetapi kepada beliau, ia kekal sebagai cenderamata peribadi bagi memperingati kehidupan yang didedikasikan kepada sains dan penjelajahan.

Beliau merupakan kru tunggal yang masih hidup daripada tiga angkasawan Apollo 11.

Menurut Aldrin, jaket itu adalah berasingan daripada sut angkasa lepas yang dipakai semasa berjalan di atas Bulan bersama rakan angkasawan, Neil Amstrong tetapi beliau memakainya semasa melakukan penerbangan pergi dan pulang dari Bulan.

Beliau  memakai jaket ini dalam Modul Kawalan Columbia semasa perjalanan bersejarah mereka ke Bulan dan pulang semula dalam misi Apollo 11.

Sut angkasa lepas yang dipakai di Bulan oleh  Aldrin dan Armstrong merupakan sebahagian daripada koleksi Muzium Udara dan Angkasa Lepas Kebangsaan di Washington

Secara keseluruhan, lelongan di New York itu menjana perolehan AS$8.2 juta (RM36.5 juta) untuk 68 barangan terjual daripada 69 barangan yang ditawarkan termasuk bayaran AS$819,000 (RM3.6 juta) untuk sebuah pelan penerbangan



 

0/komen