
Seorang pelancong Britain maut di Greece akibat terkena bilah helikopter ketika cuba merakam swafoto, manakala tiga kru pesawat berkenaan ditahan.
Dalam kejadian pada Isnin lalu, Jack Fenton, 22, baru sahaja turun daripada helikopter Bell 407 di sebuah helipad di luar Athens apabila dia terkena bilah kipas belakang yang masih berputar.
Menurut sumber polis,siasatan mereka tertumpu kepada kecuaian. Persoalan timbul daripada keterangan saksi iaitu kenapa kipas tidak berhenti berpusing apabila penumpang dibenarkan turun pada Isnin lalu.
Ketika kejadian, Fenton dalam perjalanan pulang daripada percutian bersama keluarganya di sebuah pulau di Greece.
Dia dilaporkan turun daripada helikopter dan menuju ke belakang pesawat itu tanpa menyedari kipasnya masih berpusing. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Helikopter kedua yang membawa ibu bapanya dialihkan supaya mereka tidak melihat insiden mengerikan itu.
Ketua kesatuan polis, Girgos Kalliakmanis berkata, bilah helikopter berputar selama kira-kira dua minit apabila enjin dimatikan melainkan juruterbang menekan butang yang boleh menghentikannya dalam masa kira-kira 50 saat.
Menurut Kalliakmanis lagi,pintu helikopter tidak mempunyai keselamatan, sesiapa sahaja boleh membuka pintu dan keluar. Siasatan awal akan melihat sama ada juruterbang memaklumkan mereka (penumpang) untuk keluar hanya apabila kipas berhenti.
Catat Ulasan