Jabra Engage 55 - Fon Kepala Dengan Ciri Penyulitan Kelas Tentera Di Malaysia


Jabra Engage 55 ialah sebuah fon kepala pejabat yang hadir dalam beberapa pilihan rekaan dan sokongan untuk perisian telesidang yang berbeza. Ia hadir dengan rekaan bersaiz padat dan ringan, tetapi masih hadir dengan prestasi dan ciri-ciri sebuah fon kepala kelas premium.

Mikrofon Jabra Engage 55 ini misalnya hadir dengan ciri yang menuras bunyi hingar manakala bahagian pembesar suara pada fon kepala ini juga hadir dengan ciri pembatalan bunyi hingar aktif yang memastikan bahawa panggilan-panggilan anda tidak dikacau oleh bunyi persekitaran.

Fon kepala ini juga hadir dalam pilihan stereo dan mono, dimana model mono secara lazimnya akan digunakan oleh mereka yang bekerja di pusat perkhidmatan pelanggan. Khusus untuk mereka yang sering bercakap mengenai maklumat peribadi pelanggan, fon kepala ini hadir dengan ciri penyulitan 256bit yang secara lazimnya digunakan oleh badan-badan ketenteraan.

Ciri penyulitan ini hadir apabila data audio dihantar dari fon kepala kepada penyesuai USB yang disambungkan kepada komputer, dan akan dinyahsulit apabila ia diterima oleh pihak pendengar.



Fon kepala ini hadir dengan pilihan model Unified Communication ataupun Microsoft, dimana untuk variasi UC, dimana ia hadir dengan pengesahan untuk digunakan bersama-sama perisian telesidang seperti Google Meet, Cisco, Avaya, Zoom dan sebagainya manakala untuk variasi Microsoft, ia disahkan untuk digunakan bersama-sama perisian Microsoft Teams.

Dalam pada itu, Jabra turut mengatakan bahawa fon kepala Engage 55 ini hadir dengan jarak sambungan 150 meter yang juga boleh dikatakan yang paling panjang oleh mana-mana fon kepala setakat ini. Ia juga mempunyai jangkahayat bateri 13 jam, dan sebuah dok pengecasan juga ditawarkan bersama-sama dengan fon kepala ini.


Jabra Engage 55 diperkenalkan pada mulanya pada pertengahan tahun ini, dan kini telah memasuki pasaran tempatan dan ditawarkan pada harga berikut:

Jabra Engage 55 MS/UC Stereo USB-A atau USB-C – RM1,840

Jabra Engage 55 MS/UC Stereo USB-A atau USB-C dengan dok pengecasan – RM2,130 

Jabra Engage 55 MS/UC Mono USB-A atau USB-C – RM1,720

Jabra Engage 55 MS/UC Mono USB-A atau USB-C dengan dok pengecasan – RM2,010

Jabra Engage 55 MS/UC Convertible USB-A atau USB-C – RM1,720

0/komen