Sekeping kad besbol tahun 1952 yang memaparkan pemain profesional Amerika Syarikat (AS), Mickey Mantle dijual pada harga AS$12.6 juta (RM56.5 juta).
Lelongan itu menjadikan kad tersebut sebagai koleksi sukan paling mahal di dunia, demikian menurut kenyataan firma lelongan Heritage Auctions.
Harga tersebut adalah hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding rekod jualan kad besbol sebelumnya iaitu kad besbol Honus Wagner yang mencatat harga AS$6.6 juta (RM29.6 juta) dalam satu lelongan pada tahun lalu.
Kad besbol Mickey Mantle juga mengalahkan mana-mana item memorabilia sukan dan turut memintas lelongan jersi milik bintang bola sepak Argentina, Diego Maradona yang digelar ‘Hand of God’.
Kad itu amat berharga kerana ia terpulihara dengan sangat baik. Kad besbol itu menerima gred cemerlang Mint+ 9.5 (premium) oleh Sportscard Guaranty Corporation, demikian menurut Heritage Auctions.
Mantle menghabiskan masa 17 tahun bermain untuk pasukan New York Yankees dan namanya diabadikan di Dewan Kemasyhuran Besbol pada tahun 1974.
Hasil lelongan lapan angka dalam pasaran memorabilia sukan hanyalah satu mimpi pada dekad lalu. Bagaimanapun, pihaknya sentiasa tahu bahawa kad besbol ini akan memecahkan rekod dan jangkaan.
Menurut kata pengarah lelongan sukan Heritage Auctions, Chris Ivy dalam satu kenyataan ,ia merupakan pencapaian luar biasa untuk pasukan pakar sukannya yang hebat di Heritage Auctions. Pihaknya tidak dapat melakukannya tanpa pengirimnya, Anthony Giordano yang meletakkan kepercayaan kepada mereka untuk membawa kad menakjubkan ini ke pasaran.
Giordano membeli kad besbol itu pada harga yang memecahkan rekod tahun 1991 berjumlah AS$50,000 (RM224,350). Dia menyimpannya selama tiga dekad sebelum membawanya kepada Heritage Auctions.
Catat Ulasan