Rampas Syabu Hampir RM5 Bilion


Pihak berkuasa Australia  merampas sejumlah dua tan dadah jenis methamphetamine atau syabu bernilai  sekitar AS$1.1 bilion (RM4.9 bilion).

Dadah tersebut  disembunyikan dalam jubin marmar yang dihantar dari Asia Barat menuju ke Sydney dalam rampasan syabu yang disifatkan polis sebagai terbesar pernah direkodkan di Australia.

Polis telah  menahan tiga lelaki susulan penemuan dadah berkenaan seberat 747 kilogram  awal bulan ini yang disembunyikan di dalam 24 buah kontena semasa tiba di Pelabuhan Botany Sydney.

Sebahagian lagi syabu dengan berat 1,060 kg pula  ditemui dalam 19 kontena yang tiba di pelabuhan sama minggu lalu. 

Kesemua syabu itu disembunyikan menggunakan kaedah  sama dengan keseluruhan dadah itu  dihantar dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Polis menganggarkan kesemua dadah itu bernilai sekitar AS$1.1 bilion di pasaran gelap. Ia  mencerminkan harga lebih tinggi yang dibayar oleh warga Australia untuk mendapatkan bekalan syabu berbanding pengguna di kebanyakan negara lain.

Ketua Detektif Polis, Supritendan John Watson menggambarkan kuantiti syabu yang dirampas sebagai mengejutkan.

Menurutnya ,rampasan ini akan memberi kesan untuk tempoh beberapa minggu akan datang yang menyaksikan banyak pembekal peringkat tinggi, pertengahan dan rendah terputus bekalan syabu.

Tiada tangkapan lanjut dibuat sejak rampasan pada minggu lalu itu. Pasukan penyiasat kini mengalihkan perhatian mereka untuk mengenal pasti pembekal dari luar negara.

Rantau Asia Barat  menjadi tumpuan utama pihaknya. Namun, beliau pastinya tidak akan mengehadkan siasatan mereka kepada  kawasan tersebut sahaja.

Ketiga-tiga lelaki yang sudah ditahan masing-masing  berumur 24, 26 dan 34 tahun.

Mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan mengedar dadah. Ketiga-tiga suspek  telah dihadapkan ke mahkamah, manakala permohonan ikat jamin mereka ditolak.

Rekod rampasan syabu di Australia iialah  1.8 tan dengan dadah berkenaan disembunyikan di dalam pembesar suara dan dihantar ke Melbourne dari Bangkok pada April 2019
 

0/komen