Rugi RM75 Trilion Akibat Gelombang Haba


Kajian ba­haru mendapati fenomena gelombang haba mengakibatkan  ekonomi dunia mengalami kerugian mencecah AS$16 trilion (RM75 trilion) sejak tahun 1990-an.

Ia termasuk kos disebabkan oleh kesan gelombang haba ter­hadap kesihatan manusia, produktiviti dan hasil pertanian.

Kajian tersebut turut mendedahkan bahawa kelompok negara  termiskin mengalami ke­san ekonomi paling buruk, terutamanya negara iklim tropika.

Pasukan penyelidik  Kolej Dartmouth di New Hampshire, Amerika Syarikat (AS) melakukan kajian itu yang menggabungkan data ekonomi dan suhu purata untuk tempoh lima hari paling panas setiap rantau di dunia.

Mereka mendapati dari tahun 1992 hingga 2013, gelombang haba memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi dengan perbezaan ketara wujud antara rantau berpendapatan tinggi dan berpendapatan rendah.

Hampir tiada negara di dunia mendapat manfaat daripada impak haba melampau yang  berlaku.

Menurut kata penulis kanan kajian, Justin Mankin,peristiwa global seperti pandemik Covid-19  mendedahkan kaitan rapat antara rantaian bekalan dan ekonomi global. Negara-negara  berpendapatan rendah mempunyai bilangan besar buruh. Mereka bekerja  menjana bahan mentah yang sangat penting kepada rantaian bekalan global.

Beliau berkata, kajian itu adalah antara yang pertama mengkaji secara khusus bagaimana gelombang haba mempengaruhi pertumbuhan ekonomi.

Kos sebenar perubahan iklim kepada ekonomi dunia adalah lebih tinggi daripada apa yang pihaknya  kira setakat ini.

Kajian terdahulu cende­rung memberi tumpuan kepada wilayah berpendapatan tinggi, di mana kedua-dua data ekonomi dan iklim adalah lebih teguh.

Mereka juga menyatakan bahawa gelombang haba turut mendorong bencana alam lain yang mempunyai kaitan dengan perubahan iklim seperti banjir lebih kerap dan ‘serangan’ ribut lebih dahsyat.

Pasukan penyelidik  ber­kenaan turut berkata, gelombang haba melampau membawa kepada kerugian ekonomi terkumpul antara AS$5 trilion (RM23 trilion) hingga AS$29.3 trilion (RM138 trilion) di seluruh dunia dari 1992 hingga 2013.

Kerugian ekonomi akibat cuaca panas melampau didapati lebih rendah bagi negara-negara kaya.

Ini termasuk  Amerika  Syarikat, Kanada dan sebahagian negara Eropah.
 

0/komen