Kamera Sony Alpha 7R V telah dilancarkan sebagai model kemas kini untuk Alpha 7R IV yang dilancarkan tiga tahun lalu.Kamera ini dilengkapi sensor 61-MP dari keluarga Exmor R CMOS yang dipadankan dengan cip pemproses Bionz XR. Ini adalah sensor yang sama seperti 7R IV dengan penambahbaikan diberikan kepada cip pemprosesan imej.
Sistem penstabilan imej dalam tubuh IBIS 5-paksi memastikan imej yang ditangkap sentiasa jelas. Dibantu pula oleh sistem pemfokusan yang menggunakan kecerdasan buatan. Menurut Sony, dengan pengenalan kecerdasan buatan, sistem Eye AF kini berfungsi 60% lebih pantas. Pengesanan objek, tangan, mata, mulut, hidung dan tangan dilakukan sepanjang masa untuk menjejak objek dengan lebih bijak.
Dari segi prestasi kamera pula Sony Alpha 7R V boleh merakam gambar sehingga 1000 bingkai berterusan dalam mod JPEG dan 547 gambar berterusan dalam mod RAW dengan kadar 10 FPS. Rakaman video adalah sehingga 8K 30p tetapi sehingga 30 minit sahaja. Ia meningkat ke tanpa had pada tetapan 4K 60p. Julat ISO pula adalah antara 100 – 32,000.
EVF 98.44 juta titik dipadankan dengan skrin 4″ LCD yang bebas diputarkan ke sisi dan ke hadapan untuk rakaman swafoto/swavideo. Dua kad memori CFexpress Type A boleh digunakan serentak. Pengecasan dan pemindahan data pula dilakukan menerusi port USB-C.
Harga jualan Sony Alpha 7R V adalah RM18,099 sebuah untuk tubuh sahaja dengan Sony Malaysia mengesahkan pratempahan akan dibuka November dan jualan pula pada Disember depan.
Catat Ulasan