Terpisahnya Pulau Pinang Dari Kedah


Hari ini 17 September menandakan 231 tahun Pulau Pinang di rampas secara halus oleh British dari tangan Kedah.

Naratif sejarah Pulau Pinang di buka oleh Francis Light sudah di tentang oleh ramai orang Melayu hari ini.Perjanjian pajakan Pulau Pinang berlaku pada tahun 1791 selepas angkatan tentera Kedah di serang hendap di Pantai Perai pada tahun 1790.

Pajakan Pulau Pinang sememangnya tidak berlaku pada tahun 1786 tetapi ianya berlaku pada tahun 1791 secara rasminya melalui sebuah perjanjian yang diragui di mana Light bukanlah wakil bagi kerajaan Britain sedangkan Sultan Kedah hanya menghantar wakilnya untuk menandatangani perjanjian tersebut. 

Light merampas Pulau Pinang ketika angkatan Kedah berada di Chena menanti kedatangan tentera Siam yang sedang menyerang negeri Patani. Peristiwa ini memberikan peluang kepada Light untuk datang dan menaikkan bendera Union Jack.

Pendudukan haram Light ini mendapat reaksi negatif daripada pihak Kedah dan Siam tetapi yang lebih marah sudah tentulah Kedah kerana selama ini tidak menyangka bahawa Light akan bertindak sedemikian sedangkan beliau mempunyai hubungan yang begitu baik dengan istana Kedah. 

Merujuk kepada penulisan orientalis Malaya, kerajaan Siam turut memberikan reaksi negatif kepada pendudukan Light di PP tetapi reaksi tersebut lebih menjurus kepada perluasan pengaruh British di rantau Asia Tenggara sementelahan British sejak tahun 1740an lagi telah cuba mendapatkan pajakan Pulau Salang daripada pihak Siam. Orientalis membohong selama ini!

Di dalam mana-mana rekod British, Siam tidak pernah mengakui  Pulau Pinang adalah milik mereka kerana pihak Siam sedar bahawa wilayah Trang hinggalah Kerian adalah milik / di bawah kuasa pentadbiran Kedah.

Pihak Siam juga mengakui adalah satu perbuatan yang sia-sia untuk menyerang Pulau Pinang yang berada jauh ke selatan kerana dalam masa sama Kerajaan Chakri sedang berperang di wilayah sempadan Burma sehinggalah tahun 1815. 

Dalam masa yang sama pihak Siam sedar kemaraan kuasa Eropah ke Asia Tenggara tidak dapat di halang lagi usai kejayaan mereka untuk masuk berdagang di Negeri China sejak tahun 1787 lagi. Oleh kerana itu tidak pernah ada percubaan oleh Siam untuk menyerang kedudukan British di Pulau Pinang mahupun Kedah sepanjang tahun 1786-1791.

Pada tahun 1798 Sultan Abdullah II mangkat dan berlaku krisis di dalam istana Kedah yang akhirnya membawa kepada pajakan Seberang Perai pada tahun 1802. Sehingga ke masa tersebut iaitu dari 1791-1802, pihak Siam tidak membuat sebarang bantahan malah hampir ke semua rekod-rekod British hanya tertumpu kepada kawasan Tennaserim, Burma. 

Ketika Perjanjian 1802 dimetrai oleh Sultan Dhiaudin II (SDII), Tunku Pangeran (kemudiannya dikenali sebagai Sultan Ahmad Tajuddin II) berada di Ligor dan Bangkok bagi memohon pihak Siam untuk campur tangan di dalam krisis politik Kedah. Di dalam surat menyurat atau catatan Siam  langsung tidak menyebut tentang Pulau Pinang. 

Wang bayaran "pajakan" PP yang bernilai $10 ribu dollar Sepanyol tidak di bayar kepada SDII tetapi di bayar kepada SAT II. Wang tersebut di terima oleh SAT II sehinggalah tahun 1817. Wang pajakan pada tahun 1818 tidak di bayar kerana serangan Kedah ke atas Perak. 

Pada tahun 1821, Kedah di serang oleh Ligor termasuklah semua wilayah Kedah kecuali Pulau Pinang. Pulau Pinang kekal sebagai tanah pajakan kepada Kedah memandangkan SATII masih hidup dan berada di dalam lindungan British. Di dalam surat-surat Burney (Burney Papers) jelas menyebut bahawa pada tahun 1822 Phya Sinanunchit cuba untuk mendapatkan wang pajakan tersebut daripada British dengan alasan bahawa beliau adalah Raja Kedah namun begitu permintaan tersebut tidak di layan oleh British. Jelaslah bahawa British mengakui pertuanan Sultan Kedah ke atas Pulau Pinang. 

Sehingga tahun 1869 khususnya di dalam Perjanjian Anglo Siam yang turut dikenali sebagai Perjanjian Knox-Siam. Pihak Siam mengakui bahawa Pulau Pinang dan Seberang Perai di duduki oleh British dan wang pajakan akan terus kekal di bayar kepada Sultan Kedah. 

Secara mudahnya, Siam tidak pernah mengakui pertuanannya ke atas Pulau Pinang. Siam hanya mengakui Kedah adalah negeri naungannya tetapi Rama III dan IV tidak pernah menghantar wakilnya untuk memerintah Kedah seperti mana di negeri-negeri Segenting Kra dan hal ini selesai apabila Perjanjian Bangkok 1909 ditandatangani di mana Kedah menjadi berada di dalam kawalan British (indirect rule).
 

0/komen