Seekor kucing di Britain menerima pengiktirafan kucing paling tua yang masih hidup di dunia oleh Guinness World Records setelah usianya hampir 27 tahun, setara dengan 120 tahun umur manusia.
Flossie mendapat pengiktirafan kelmarin pada usia 26 tahun dan 329 hari, demikian menurut satu siaran berita. Ia dilaporkan masih sihat walaupun kurang penglihatan dan pekak.
Pemilik Flossie, Vicki Green mengambilnya sebagai haiwan peliharaan selepas ia diserahkan kepada badan perlindungan kucing Britain, Cats Protection pada Ogos lalu.
Beliau tahu dari awal lagi bahawa Flossie adalah kucing istimewa, tetapi dia tidak menyangka akan berkongsi rumah dengan pemegang rekod dunia.
Menurutnya,ia sangat penyayang dan suka bermain. Beliau amat berbangga apabila Cats Protection memadankan dia dengan seekor kucing yang mengagumkan.
Flossie tinggal di beberapa buah rumah sejak hidup sebagai kucing jalanan di kawasan berdekatan hospital Merseyside di Liverpool, barat laut England selepas beberapa bulan dilahirkan pada 1995.
Ia diambil oleh seorang pekerja hospital tersebut dan mereka tinggal bersama selama 10 tahun sebelum dia meninggal dunia. Flossie kemudian dijaga oleh kakak kepada mendiang pemiliknya.
Selepas 14 tahun, pemilik keduanya meninggal dunia. Ia kemudian tinggal bersama anak lelaki kepada pemilik keduanya selama tiga tahun, sebelum diamanahkan kepada sukarelawan di Cats Protection.
Berita mengenai usia Flossie mula tersebar sejak itu dan kerja-kerja mengesahkan usianya mula dijalankan.
Menurut kata penyelaras cawangan badan amal itu, Naomi Rosling dalam satu kenyataan,pihaknya terkejut apabila melihat rekod rawatan Flossie menunjukkan bahawa ia berusia 27 tahun.
Kucing paling tua pernah hidup bernama Creme Puff yang mencapai usia 38 tahun dan tiga hari. Ia meninggal dunia pada 6 Ogos 2005
Catat Ulasan