Foto memaparkan imej pengibaran Bendera Merah atau ‘Panji-panji Kejayaan’ di atas runtuhan Parlimen Jerman, Reichstag pada tarikh 2 Mei 1945 dianggap sebagai mewakili ‘kemenangan penuh’ tentera Soviet ke atas Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua.
Pada hari yang sama, Jeneral Helmuth Weidling, komander terakhir tentera Nazi yang masih teguh mempertahankan ibu kota Jerman, memerintahkan pasukannya ‘menghentikan segera penentangan’, sekaligus menyerahkan kota itu kepada Tentera Merah.
Namun, foto ikonik terkenal yang dirakam oleh jurofoto perang Soviet, Yevgeny Khaldei dan diterbitkan pada 13 Mei 1945 dalam majalah Ogonyk, adalah lakonan semula yang diulang.
Menurut laporan Soviet, pengibaran Bendera Merah di atas Reichstag berlaku pada malam 30 April setelah percubaan berulang kali oleh tentera Soviet untuk menundukkan pasukan pengawal Jerman yang tidak mahu menyerah kalah.
Kejayaan Soviet menduduki Berlin dibayar dengan harga yang sangat tinggi: 78, 291 askar Tentera Merah terbunuh dan 274,184 cedera. Hasilnya adalah, kira-kira 90,000 tentera Jerman menghadapi lebih dari satu juta askar Tentera Merah.
Pasukan Nazi yang mempertahankan Berlin terdiri daripada divisyen seperti Wehrmacht dan Waffen-SS yang kekurangan sumber tenaga tempur dan senjata, serta unit Volkssturm yang kurang terlatih dan tidak pernah bertempur (militia rakyat Jerman yang ditubuhkan pada tahun 1944-45, terdiri daripada golongan warga emas dan mereka yang tidak berkelayakan) dan anggota Belia Hitler.
Fakta menarik, anggota tentera yang mengibarkan bendera Soviet di Parlimen Reichstag sebenarnya adalah seorang yang beragama Islam – Abdulhakim Ismailov dari Dagestan.
Dalam peperangan ini, beliau mengalami lima kecederaan parah, dan setelah sembuh, beliau tetap bergegas ke barisan hadapan. Beliau dinobatkan dengan anugerah “Geroy Rossiyskoy Federatsiy” (Hero Persekutuan Rusia) pada tahun 1996, 51 tahun selepas kemenangan besar di Berlin.
Punca di sebalik masa lama ini mungkin kerana sifat Kesatuan Soviet yang terlalu ketat menyimpan rahsia. Peranan Abdulhakim Ismailov hanya timbul pada 1995 apabila seorang anggota di tempat kejadian – Aleksey Kovalyev – mengenalpastinya dalam sebuah dokumentari.
Abdulhakim Ismailov meninggal dunia pada usia 93 pada 17 Februari 2010 di perkampungan Chagar-Otar, Daerah Khasavyurtovsky, Dagestan.
Catat Ulasan