8 Beranak Tinggal Dalam Bangsal


Kesempitan hidup membuatkan lapan beranak di Kampung Kuala Ayer Merah di sini, tiada pilihan melainkan terpaksa tinggal di dalam bangsal sejak hampir sebulan lalu kerana tidak mampu menyewa rumah.

Zuraini Pauzi, 47, berkata, dia bersama tujuh anaknya berusia di antara 3 hingga 18 tahun terpaksa berteduh di bangsal namun tetap gusar memikirkan risiko keselamatan mereka sekeluarga ketika hujan dan menjelang musim tengkujuh.

Katanya, sebenarnya bangsal itu adalah milik kakaknya dan ahli keluarga lain mempelawanya sekeluarga tinggal bersama namun dia menolak disebabkan tidak mahu membebankan mereka yang mempunyai anak ramai serta bukan dalam kalangan orang yang senang.

Menurutnya lagi, sebelum ini dia menyewa rumah di kawasan berdekatan dengan bayaran RM100 sebulan namun sejak sebulan lalu dia tidak mampu membayar sewa dan mengambil keputusan keluar dari situ.

Untuk menyara keluarga, beliau bekerja sebagai tukang rumah dengan upah yang diperoleh sekitar RM50 sehari.

Tiga anaknya yang bekerja di Johor Bharu ada mengirimkan wang belanja pada setiap bulan namun ia cukup sekadar untuk perbelanjaan harian mereka sahaja.

Bangsal yang dihuni ini tidak ada kemudahan tandas dan setiap kali mandi, beliau serta anak-anak terpaksa menumpang di rumah kakak atau ibu yang berdekatan selain elektrik juga terpaksa disambung dari rumah mereka dan pada masa sama ada kalanya penduduk yang bersimpati akan menghulurkan makanan untuk beliau sekeluarga mengalas perut.

Terdahulu badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed hadir menziarahi keluarga berkenaan dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban selain bertanya keperluan yang diperlukan.

Zuraini berkata, akibat kemiskinan hidup, dia terpaksa menyerahkan dua anaknya kepada saudara terdekat ketika anak-anaknya itu baharu berusia tiga hari.

Pada ketika itu perasaan sebagai ibu tidak keruan apabila berpantang tanpa anak di sisi, namun beliau perlu menguatkan semangat demi memastikan kebajikan mereka terjaga.

Malah keputusan untuk menyerahkan anak kepada orang lain untuk dijaga adalah keputusan yang sukar pernah dibuat, tetapi apakan daya kerana
kesempitan hidup dan mujurlah anak-anak yang lain memahami kesusahan dialami dan mereka tidak pernah bersungut atau meminta apa-apa di luar kemampuannya.

Katanya, pada masa sama, dua anaknya iaitu Muhammad Mubarak Mohamad Albab, 16, hanya sempat bersekolah di Tahun Enam manakala Nor Azmida Balqis, 14, pula mengambil keputusan untuk berhenti pada awal Januari lalu.

Walaupun dua anak mengambil keputusan untuk berhenti sekolah, besar harapan beliau empat anak berusia antara 7 hingga 12 tahun dapat terus bersekolah kerana mereka masih memiliki masa depan untuk mengubah nasib mereka sekeluarga.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Zuraini Fauzi di 013-2900936.
 

0/komen