iQOO, jika anda tidak ketahui ialah sub-jenama peranti gaming Vivo yang sebelum ini dilihat hanya beroperasi di China dan juga India. Terkini, jename tersebut telah memperkenalkan peranti terbaru mereka, iaitu iQoo 11 yang dilihat tampil dengan penggunaan komponen-komponen serba baru dan ciri-ciri yang cukup unik.
iQOO 11 tampil dengan skrin AMOLED E6 bersaiz 6.78 inci dengan resolusi 1440×3200 dengan kadar segar semula 144Hz, kecerahan skrin setinggi 1800 nit. Dengan cip kecerdasan buatan V2 terbina didalam paparan ini, ia boleh membantu dalam meningkatkan nilai kadar segar semula dalam aplikasi dari 90Hz ke 120Hz bergantung kepada sokongan aplikasi tersebut.
Peranti iQOO 11 ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 yang baru sahaja dilancarkan pada bulan lepas, dan ialah diantara peranti pertama di dunia yang menggunakan cip pemprosesan ini.
Cip pemprosesan ini dipadankan bersama-sama memori LPDDR5 sebanyak 16GB dan storan UFS 4.0 sebesar 256GB. Dalam pada itu, seperti banyak peranti Android sekarang, iQOO 11 tampil dengan memori tambahan sebanyak 8GB yang boleh ditambahkan melalui storan yang terbina didalam peranti.
Dari segi perisian, iQOO 11 menggunakan Funtouch OS 13 yang dibangunkan berdasarkan sistem operasi Android 13 yang terbaru. Dengan bateri 5000mAH terbina, ia juga menyokong sistem pengecasan pantas FlashCharge 120W yang mana bateri peranti ini boleh dicas dari kosong ke penuh dalam masa 25 minit sahaja.
Untuk golongan gamer, iQOO 11 ini hadir dengan teknologi paparan Dual Monster Touch yang membolehkan bahagian kanan dan kiri skrin boleh beroperasi secara berasingan dalam aplikasi, manakala Symmetric Dual X-Axis Linear Motor membolehkan pengguna untuk mengetahui dari arah manakah mereka diserang dalam permainan seperti PUBGM.
Dari segi kamera, iQOO 11 hadir dengan sistem tri-kamera yang terdiri daripada kamera utama 50MP GN5 dengan bukaan f1.88, kamera ultra-lebar 8MP 16mm dengan bukaan f2.2 dan kamera telefoto dan potret 13MP 50mm dengan bukaan f2.45.
Cip V2 juga menjanjikan pengalaman mengambil gambar dan video yang terbaik, tidak kira pada waktu siang dan malam, ataupun lokasi dalam bangunan ataupun di kawasan lapangan.
Satu lagi keunikan pada peranti iQOO 11 ini ialah rekaannya yang menggabungkan penggunaan logam yang dibina dengan proses C&C, gentian kaca dan juga kulit silikon yang memastikan peranti ini selesa dipegang dan digunakan walaupun untuk jangkamasa yang panjang.
Rangka peranti ini diperbuat daripada logam, manakala bahagian belakangnya menggunakan kulit silikon tersebut, dan untuk model “Legend”, dan penggunaan gentian kaca dapat diperlihatkan pada bahagian jalur tiga warna “Clous de Paris”. Model ini dibangunkan dengan kerjasama bersama BMW Motorsport.
Peranti ini juga tampil dengan model “Alpha” yang mana rangka belakangnya diperbuat daripada kaca AG (Anti Glare) yang memberikannya rupa yang lebih minimalis.
Pihak iQOO mengesahkan bahawa iQOO 11 ini akan dilancarkan di Malaysia juga tidak lama lagi
Catat Ulasan