Keistimewaan Dajjal


Allah memberikan dajjal banyak keistimewaan untuk menguji keimanan manusia ketika akhir zaman nanti. Semua itu telah dijelaskan di dalam hadis sahih. Di antara keistimewaannya selain boleh menghidupkan orang mati, dajal juga ada beberapa keistimewaan. Antaranya:

Pertama, ada bersamaan syurga dan neraka. Dajal akan menggunakan kedua-duanya untuk menguji keimanan orang Islam. Apa yang dajal berikan sebagai syurga sebenarnya adalah neraka. Dan apa yang diperlihatkan sebagai neraka sebenarnya adalah syurga.

Kedua, dajjal akan pergi ke daerah yang kemarau, kebuluran dan hasil dagangan tidak menjadi. Dajjal akan menurunkan hujan di daerah itu jika penduduknya mengaku beriman kepadanya. Maka daerah itu akan kembali subur dan hasil dagangan melimpah ruah. Manakala bagi daerah yang penduduknya tidak mahu mengaku dajjal sebagai tuhan, akan berada di dalam kebuluran dan kesusahan.

Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bermaksud, “Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apa yang dimakan oleh orang Islam yang beriman pada hari itu nanti?”

Rasulullah menjawab, “Mereka akan menjadi kenyang dengan tahlil, takbir, tasbih dan bertaubat. Zikir-zikir itu yang akan menjadi makanan mereka.”

Ketiga, boleh menjelajahi seluruh pelosok bumi ini di dalam masa 40 hari dan kepantasan yang luar biasa. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan, “Kami bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kepantasan perjalanannya di muka bumi ini? Nabi menjawab: “Kepantasan perjalanannya adalah seperti Al-Ghaist (hujan atau awan) yang dipukul angin kencang.” Hanya dua tempat saja yang tidak boleh dimasuki oleh dajjal iaitu Mekah dan Madinah.

Nabi mengingatkan orang yang beriman supaya menghindarkan diri dari berjumpa dengan dajjal. Malah nabi bersabda, hanya seorang lelaki dari Madinah yang dapat berdepan dengan dajjal. Lelaki itu akan mengatakan bahawa kamu adalah dajjal lalu lelaki itu dibunuh oleh dajjal. Kemudian dajjal menghidupkan semula lelaki itu. Lalu dajjal berkata tidakkah kamu percaya kepada aku. Lelaki itu menjawab, “Tidak, melainkan bertambah keimananku kepada Allah.” Kemudian dajjal cuba membunuh lelaki itu tetapi telah diselamatkan oleh Allah.

 

0/komen