Satu kajian mendapati teras Bumi yang mempunyai suhu amat panas dengan saiz menyamai Planet Pluto, telah berhenti berputar bahkan kini, ia mungkin berputar pada arah bertentangan.
Kajian diterbitkan dalam jurnal Nature Geoscience itu menganalisis gelombang seismik daripada bencana gempa bumi sejak enam dekad lalu.
Ia mendapati teras Bumi berhenti berputar sekitar tahun 2009 dan secara perlahan-lahan mula berputar pada arah berbeza.
Meskipun impak perubahan tersebut kepada permukaan Bumi masih belum diketahui, kumpulan penyelidik sama berkata, mereka dapat melihat corak yang mantap di mana berbanding permukaannya, teras Bumi beroperasi seperti ayunan dan berubah arah setiap 70 tahun.
Menurut kata pengarang kajian tersebut, Xiaodong Song dan Yi Yang dari Universiti Peking di China,mereka berpendapat bahawa berbanding permukaan Bumi, terasnya berputar dalam satu arah dan kemudian menukar arah seperti satu ayunan.
Menurut mereka, perubahan putaran terakhir sebelum tahun 2009 berkemungkinan berlaku dalam tahun 1970-an, dan perubahan seterusnya diramal pada pertengahan 2040-an.
Pada tahun lalu, seorang profesor sains Bumi di Universiti California Selatan dan rakan sekerjanya melaporkan penemuan bahawa teras Bumi mungkin boleh membalikkan putarannya setiap tiga tahun atau lebih kerap, berdasarkan gelombang seismik daripada ujian nuklear.
Beberapa penyelidik lain pula mengeluarkan teori bahawa bahagian teras Bumi sebenarnya langsung tidak bergerak, namun teras dalam mempunyai kebolehan untuk berubah bentuk.
Catat Ulasan