ASUS ZenBook 14X OLED Kini Di Malaysia


ASUS Malaysiakini  telah mula membawa masuk ASUS ZenBook 14X OLED terbaru mereka ke pasaran tempatan.

ASUS ZenBook 14X OLED tampil dengan paparan skrin OLED bersaiz 14.5 inci dengan resolusi 2.8K (2880×1800) dengan kadar segar semula 120Hz dan mampu memaparkan 100 peratus gamut warna DCI-P3 untuk olahan warna yang jitu tidak kira anda bekerja ataupun menonton siri televisyen dan filem kegemaran anda.

Paparan komputer riba ini juga hadir dengan ciri DisplayHDR True Black 600 yang membolehkan komputer riba ini memperlihatkan warna yang jauh lebih ranggi daripada paparan-paparan tanpa sokongan HDR.

Ia juga dikuasakan oleh CPU Intel generasi ke-13, termasuklah Intel Core i5-13500H, Intel Core i7-13700H dan Intel Core i9-13900H. Ia juga menawarkan pilihan memori DDR5 sehingga 32GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB, cukup besar untuk menggerakkan pelbagai jenis perisian produktiviti yang digunakan di pejabat dan di rumah.

ASUS ZenBook 14X OLED juga dilengkapi kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050, yang boleh digunakan untuk mengolah video beresolusi tinggi dan juga menggerakkan permainan-permainan moden pada tetapan sederhana


ASUS ZenBook 14X OLED ini hadir dengan sokongan untuk palam-palam Thunderbolt 4, USB 3.2 Gen 2 dan HDMI 2.1. Ia juga dilengkapi dengan sokongan WiFi 6E, piawaian sambungan WiFi yang terpantas setakat ini dengan jarak sambungan yang cukup jauh sekali.

Komputer riba ASUS ZenBook 14X OLED ini juga hadir dengan bateri 70Wh yang mampu bertahan selama satu hari bekerja, dan mempunyai ciri pengecasan pantas Easy Charge yang membolehkannya digunakan dengan pelbagai pengecas Power Delivery dan sambungan USB-C.

ASUS ZenBook 14X OLED dengan cip Intel Core i7 sudahpun mula dijual di pasaran tempatan pada tanda harga RM5999. Dua model lagi, yang dikuasakan cip pemprosesan Intel Core i5 dan Intel Core i9 terbaru pula akan mula dijual pada bulan April ini pada harga RM4999 dan juga RM 6999.

0/komen