
Bagaimana Alfonso de Albuquerque terselamat setelah kapal Flor de La Mar terpecah dua dalam pelayaran ke Cochin, India
Catatan ini diperolehi dari buku Portuguese Documents on Malacca from 1509 - 1511, susunan M.J. Pintado yang diterbitkan oleh Arkib Negara Malaysia. Buku ini dalam dwi-bahasa, Portugis dan Inggeris.
Alfonso de Albuquerque telah mengetuai 3 buah kapal dan sebuah jong meninggalkan Melaka dengan muatan harta rampasan kesultanan Melaka bersama dengan 100 orang Portugis, tidak termasuk mereka yang cedera dan sakit serta orang-orang tempatan yang dibawa bersama pada 1 Disember 1511.
Antara barang berharga yang dibawa ialah sebuah kerusi yang dihadiahkan oleh para pedagang kepada Sultan Melaka dan digunakan oleh permaisuri Sultan Melaka ketika santapan. Ia ditatah dengan permata dan dinilaikan 3,000 cruzados, mata wang Portugis pada masa itu.
Terdapat 2 ekor singa emas yang kosong di dalamnya diletakkan di hadapan pintu masuk istana Melaka. Ia adalah hadiah daripada Maharaja China kepada Sultan Melaka. Dalam satu catatan lain menyebut ianya diperbuat daripada besi dan kemungkinan hanya disadurkan dengan emas sahaja.
Juga terdapat 4 ekor singa yang diperbuat daripada emas dengan keadaan duduk dan kosong di dalamnya. Ia digunakan untuk meletakkan pewangian. Mata, lidah, gigi dan kuku singa diperbuat daripada batu yang diukir rapi. Empat ekor singa ini bernilai 200,000 cruzodos.
Berdasarkan tradisi ketika itu kemungkinan ia tempat pembakaran pewangian kayu gaharu yang merupakan barang dagangan yang digemari di pelabuhan Melaka.
Berkenaan dengan barang-barang perhiasan emas tidak banyak yang dinyatakan dalam catatan Portugis. Ini berkemungkinan besar Sultan Mahmud dan orang-orangnya sempat membawa keluar sebahagian harta terutamanya emas-emas dan alat kebesaran diraja sebelum berundur.
Ini sudah tentu menjadi keutamaan apabila kerajaan hampir ditawan musuh. Ia sama juga apabila kita ditimpa musibah banjir atau kebakaran akan terlebih dahulu menyelamatkan harta-benda sebanyak yang mungkin.
Setelah meninggalkan Melaka, mereka menyusuri pantai Pedir yang terletak di utara Sumatera yang berhadapan dengan Lautan Hindi.

Apabila kapal Alfonso de Albuquerque, Flor de La Mar menghampiri suatu tempat yang dinamakan Ponta de Timia @ Tanjung Timia, penghujung utara pulau Sumatera kapal ini telah dibadai ribut taufan pada waktu malam.
Disebabkan ribut yang kuat maka Alfonso de Albuquerque telah mengarahkan sauh diturunkan dan tidak meneruskan pelayaran. Setelah sistem mengepam air juga tidak mampu untuk menimba air yang banyak dari kapal dan keadaan kapal yang semakin nak tenggelam, beliau mengarahkan untuk dibina rakit bagi menyelamatkan diri.
Apabila rakit yang diikat dengan tiang sauh berlaga dengan kapal dan menyebabkan kerosakan pada rakit dan juga kepada kapal maka Alfonso telah mengarahkan agar rakit dilepaskan dari kapal.
Sebaik saja rakit mahu dipisahkan dari kapal, orang-orang tempatan yang dibawa bersama telah berebut-rebut untuk melompat menaiki rakit maka berlakulah pergelutan dengan orang-orang Portugis. Akhirnya hanya orang-orang Portugis yang sihat sahaja dibawa ke atas rakit, selainnya terkorban bersama kapal yang dikatakan terpecah dua.
Dalam kepekatan malam dan ribut taufan itu akhirnya rakit berjaya bergerak ke arah daratan dan menurunkan sauhnya serta mereka dapat menyelamatkan diri menanti sehingga ke hari siang.
Pada keesokkan harinya sebuah lagi kapal yang berada di belakang kapal Alfonso de Albuquerque yang dikemudikan oleh Pero de Alpoim mendapati kayu papan dari kapal pecah berselerakan terapung di laut namun tidak menjumpai kapal Alfonso de Albuquerque.
Kapal Pero de Alpoim yang bernama Trindade menyusuri pantai dan akhirnya menjumpai rakit yang dinaiki oleh Alfonso de Albuquerque. Kemudian Pero de Allpoim telah menghantar bot penyelamat yang berulang-kali membawa kesemua orang-orang Portugis ini ke kapalnya.
Dalam pada itu mereka masih sempat untuk pergi ke kapal yang pecah dengan menyelam untuk menyelamatkan emas yang dibawa dengan mengkalungkan ke leher. Namun berapalah yang dapat diselamatkan dan selebihnya terkubur di dasar laut.
Sebuah lagi kapal yang dikemudikan oleh Dom Joap de Lima sebenarnya berada di hadapan Flor de La Mar dan terselamat daripada ribut taufan. Beliau sebenarnya tidak pun mengetahui kejadian ribut taufan itu yang berlaku ke atas kapal Alfonso de Albuquerque.
Kemudiannya beliau memperlahan kapal agar kapal Alfonso dapat mengejar kapalnya yang pada sangkaannya kapal Alfonso jauh tertinggal di belakang.
Setelah lebih 10 hari kemudiannya barulah kapal yang dikemudikan oleh Dom Joap de Lima berjumpa dengan kapal Trindade yang dikemudikan oleh Pero de Alpoim di mana ia membawa Alfonso de Albuquerque. Kedua-dua kapal ini belayar seiring dan sampai ke Cochin pada awal Januari 1512 yakni pelayaran yang memakan masa selama sebulan.
Sebuah jong yang dikemudikan oleh Simon de Andrade dengan kebanyakannya adalah terdiri daripada pelaut tempatan dan tukang kayu berjumlah hampir 120 orang juga selamat sampai lebih kurang 20 hari selepas ketibaan Alfonso de Albuquerque di Cochin.
Setelah sampai di Cochin, Alfonso mengatakan dengan kehilangan 2 singa emas ini seolah-olah beliau telah kehilangan harga dirinya kerana ia amat berharga pada dirinya untuk diingati.
Kemudian Alfonso de Albuquerque telah menulis secara peribadi kepada Jorge Barelho, seorang kapten kapal yang akan belayar ke Melaka dengan meminta dia ke tempat kapalnya yang karam dahulu dan menyuruh penduduk tempatan yang menyelam mutiara untuk cuba mencari singa emas yang hilang. Beliau sanggup untuk membayar berapa sekalipun bagi menggantikan harga dirinya yang telah hilang.
Bolehlah disimpulkan bahawa tempat karamnya kapal Flor de La Mar adalah berhampiran benar dengan gugusan kepulauan Nicobar di mana aktiviti menyelam mutiara adalah sumber utama penduduk tempatan.
Dengan itu mengesahkan juga pendapat yang mengatakan Flor de La Mar juga karam disebabkan terlanggar terumbu karang atau beting pasir di kawasan cetek akibat dipukul ribut taufan yang menyebabkannya terbelah dua.
Penyusun buku, M.J. Pintado juga memasukkan artikel yang ditulis oleh Joao de Barros yang hidup sezaman dengan Alfonso de Albuquerque dan kemudiannya bertugas di Goa, India dalam perkhidmatan Portugis.
Beliau banyak mengumpulkan catitan maklumat yang dibukukan dalam "Decadas da Asia".
Selama ini kita banyak bergantung kepada catatan Tom Pires dalam buku pelayarannya, Suma Oriental tentang tenggelamnya kapal Flor de La Mar yang menyebut emas yang terkubur di dasar laut. Namun dalam buku susunan M.J. Pintado ini tidak langsung menyebut sumber dari Suma Oriental kerana tentunya dia mempunyai sumber lain yang lebih kukuh.
Daripada kekesalan Alfonso de Albuquerque juga menunjukkan bahawa harta yang paling bernilai hanya pada 2 ekor singa emas dan tidak kepada bentuk emas yang lain.
Mengikut catatan tempatan pula bahawa harta karun milik kesultanan Melaka sempat dibawa keluar dan dikatakan telah ditanam di sekitar Pulau Besar, Melaka. Pihak kerajaan Melaka dalam beberapa tahun yang lalu pernah mengupah pihak tertentu untuk menjejaki harta karun ini namun sehingga sekarang masih belum menemuinya. Adakah benar di tanam di situ atau di tempat lain masih menjadi misteri.
Pada tahun lepas kerajaan Indonesia dikatakan sedang berusaha untuk melakukan eksplorasi terhadap kapal Flor de La Mar yang membabitkan tiga pihak iaitu Indonesia, Malaysia dan Portugis. Bagaimanapun sehigga kini tidak diketahui statusnya.
Itupun jika ia benar-benar berada dalam perairan Indonesia, jika ia dalam perairan Kepulauan Nicobar maka lainlah ceritanya. Kerana Alfonso de Albuquerque pernah mengatakan tempat karam kapalnya ialah di mana terdapat penduduk tempatan yang menyelam mutiara. Maka dengan itu kemungkinan sekali dalam perairan Kepulauan Nicobar.
Jika benarpun ia tenggelam di situ adakah selama 500 tahun ini penduduk tempatan tidak berusaha mencari harta karun ini? Sedangkan mereka adalah penyelam yang hebat untuk mencari mutiara, sama seperti penduduk di kepulauan Maldives.
Catat Ulasan