Sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam kedai dobi layan diri tu, aku dah rasa tak sedap hati dan seram sejuk. Aku pernah khabar yang mengatakan kedai dobi ni keras sikit, dan sebab itu kedai dobi ni tak ramai walaupun sekarang ni musim hujan.
Dobi lain semua ramai orang, jadi aku terpaksa juga cuci dekat dobi ni sebab aku dah tak ada baju bersih. Nak beli mesin basuh sendiri, memang tak mampu, lagipun tak ada ruang nak letak dekat rumah sewa aku tu.
Masa aku kendong bakul baju kotor masuk ke dalam dobi tu, tak ada orang lain di sana. Aku seorang diri sahaja. Sunyi dia lain macam, padahal baru jam 11 malam. Mungkin sebab hujan renyai-renyai dekat luar pada waktu tu.
Salah satu lampu kalimantang dekat dobi tu pula asyik berkedip. Setiap kali dia termati, muncul bayang-bayang di kawasan yang terhadang.
Aku tukar duit kepada token, kemudian masukkan baju-baju kotor aku ke dalam salah satu mesin basuh di situ. Aku pilih mesin yang paling besar sebab baju kotor aku agak banyak. Dah dekat 2 minggu tak basuh, dah terkumpul jadi sebeban. Masa aku masukkan token syiling ke dalam mesin, aku perasan tangan aku ada sedikit terketar.
Bila mesin basuh itu mula bernyawa, aku labuhkan punggung di sebuah kerusi plastik dan keluarkan telefon untuk alihkan perhatian aku dari suasana menyeramkan di dobi itu. Namun, setelah beberapa minit, aku rasa semakin tak tenteram. Dobi tu terlalu sunyi, hanya kedengaran deruman halus mesin basuh. Kadang kala ada bunyi dentingan token syiling jatuh ke dalam tabung besi di dalam mesin basuh.
Aku yakin dekat situ tak ada orang lain, tapi kenapa entah aku rasa seperti ada seseorang - atau sesuatu - yang sedang memperhatikan aku. Bulu roma di tengkuk aku tiba-tiba meremang, berdiri tegak. Melilau anak mata aku perhatikan sekitar premis dobi ni untuk pastikan memang tak ada orang yang tenung aku.
BEEP!
Akhirnya mesin basuh berbunyi menandakan cucian aku dah selesai. Aku cepat-cepat buka pintu mesin basuh, keluarkan baju-baju aku, untuk dimasukkan dalam bakul. Sewaktu aku keluarkan baju yang terakhir, aku ternampak macam ada gumpalan hitam berada di dalam bakul aku. “Apa benda ni?” detik hati aku. Benda tu panjang, dan mengunjur ke dalam mesin basuh.
Perasan ingin tahu mendorong aku untuk menjenguk ke dalam mesin basuh dan kemudian terus menyesal dengan tindakan aku. Sejuk terus seluruh badah aku. Gumpalan hitam tu adalah rambut, dan wajah pemiliknya terlihat di dalam ruang gelap mesin basuh. Matanya merenung tepat ke dalam mata aku, senyumannya amat mengerikan. Lumpuh terus semangat yang bersisa dalam diri aku.
Aku terus terpekik dan tegelincir ke belakang akibat tersandung kerusi, dan terjelepuk jatuh ke lantai. Aku dengar hilai tawa dari dalam mesin basuh tu, dan aku cuba sedaya bangkit berdiri. Jantung aku berdegup kencang. Aku capai bakul aku yang berisi baju dan berlari keluar dari dobi berkenaan tanpa menoleh ke belakang sehinggalah aku berada di luar.
Aku mengatur nafas yang berombak-ombak. Aku tak pasti apa yang aku nampak dalam dobi tu. Adakah itu mahkluk yang sering menggangu pelanggan sebelum-sebelum ini, atau ia sekadar mainan perasaan dan imaginasi aku sahaja kerana terpengaruh dengan khabar-khabar yang tersebar. Apapun, yang pasti aku tak akan ke dobi layan diri tu lagi. Aku pun cepat balik ke rumah, dan mengunci pintu seolah-olah ia dapat menghalang makhluk tadi dari ikut aku masuk rumah.
Catat Ulasan