Piala Sumbangsih 2023 Juara : JDT


Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) memastikan Piala Sultan Haji Ahmad Shah terus berada dalam dakapan setelah menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-0 pada perlawanan sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan menjadi pemilik trofi yang dimenangi sejak 2018 sekali gus mengutip tiga mata pertama.

Skuad kendalian Esteban Solari itu mempamerkan bertenaga sebaik minit pertama dan hampir membuka jaringan ketiga menerusi percubaan Fernando Forestieri, namun sepakan lencongnya sedikit tersasar.



Serangan JDT akhirnya membuahkan hasil pada minit kelima setelah hantaran lintang Bergson Da Silva disempurnakan Juan Muniz yang menanduk bola menewaskan penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin.

Pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner hampir dibolosi lagi menerusi percubaan Arif Aiman Hanapi yang mempamerkan kelicikan menggelecek dua pemain TFC sebelum melepaskan rembatan yang diselamatkan penjaga gol.

Skuad Peteh yang ketinggalan itu cuba bangkit menerusi gandingan Adisak Kraison dan Ivan Mamut, namun gagal memberikan impak dan mendatangkan resah buat benteng pertahanan pasukan tuan rumah.

Bersambung babak kedua, anak didik Solari yang selesa dengan jaringan satu gol itu menguasai permainan dengan melakukan umpanan hantaran pendek sambil mengintai ruang untuk menambah jaringan.

Pada minit ke-50, Arif Aiman hampir meletakkan nama dalam senarai penjaring menerusi larian ke dalam kotak penalti, namun rembatan pemain lincah itu berjaya dibaca Mohd. Suhaimi yang bersedia menangkap bola kemas.

Arif Aiman terus menjadi duri dalam daging buat Skuad Penyu apabila mencipta jaringan dengan melakukan sepakan lintang yang diusahakan penjaring terbanyak musim lalu, Bergson meletakkan JDT Di kedudukan selesa pada minit ke-57.

Anak didik Steinbruckner tampak buntu dan hilang punca gagal menemui rentak untuk bangkit pada perlawanan itu dan keputusan kekal ke wisel penamat.

0/komen