Razer Blade Kini Dikemaskini


Razer, jenama gaming terkemuka dari Singapura telah memperlihatkan komputer riba terbesar mereka, Razer Blade 18 baru-baru ini yang menawarkan bukan sahaja rekaan komputer riba yang gergasi, tetapi juga dikuasakan oleh komponen-komponen yang terbaru dari Intel dan NVIDIA.


Terkini, model Razer Blade 15 juga dilihat telah dikemaskini dengan pelbagai jenis komponen terbaru, seperti paparan skrin 15.6 inci dengan resolusi QHD pada kadar segar semula 240 Hz yang juga mampu memaparkan 100 peratus gamut warna DCI-P3 untuk pengalaman gaming dan tontonan siri televisyen dan filem dengan warna yang jitu.


Razer Blade 15 terbaru ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i7-13800H dengan pilihan memori DDR5 sehingga 64GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 sehingga 4TB dengan slot SSD tambahan. Dari segi pilihan kad grafik pula, komputer riba ini dikuasakan dengan pilihan NVIDIA GeForce RTX 4060 dan juga NVIDIA GeForce RTX 4070 yang boleh memanfaatkan paparan skrin yang ditawarkan.

Razer Blade 15 dikenali sebagai sebuah komputer riba nipis dan ringan yang masih dikuasakan komponen-komponen yang gah, dan untuk menyejukkan komponen-komponen tersebut, sambil mengekalkan rekaan nipis dan ringan, ia menggunakan kipas-kipas penyejukan pada saiz 0.05mm yang membolehkan Razer untuk mengekalkan rekaan nipis ini.

Bateri 80Wh komputer riba ini juga boleh menguasakan komputer riba ini selama sekitar 6 jam dengan satu pengecasan penuh.


Razer Blade 15 kini sudahpun mula ditawarkan di beberapa pasaran terpilih melalui kedai atas talian Razer dan juga kedai fizikal Razer Store pada harga permulaan $2,499.99.
 

0/komen