Sebutir berlian merah jambu mempunyai warna dan kecerahan yang tiada tolok bandingnya dijangka dapat dilelong pada harga lebih AS$35 juta (RM154.7 juta) dalam acara lelongan di Bandar Raya New York Jun ini.
Mempunyai berat 10.57 karat (2.114 gram), berlian amat jarang ditemui itu dinamakan The Eternal Pink . Ia akan dilelong empat tahun selepas ditemui di sebuah lombong milik syarikat De Beers di Bostwana.
Menurut firma lelongan Sotheby’s, selain dikelaskan secara rasmi sebagai berwarna ‘merah jambu keunguan’, ia adalah berlian warna berkenaan yang paling berharga pernah diketengahkan untuk lelongan.
Ketua Barang Kemas Sothey’s bagi rantau Amerika, Quig Bruning berkata, berlian tersebut menyertai ranking berlian paling penting dalam sejarah.
Menurutnya ,warna itu adalah warna merah jambu paling cantik yang beliau pernah lihat atau dijual di pasaran.
Harga berlian sebahagian besarnya ditentukan oleh apa yang dikatakan oleh pakar-pakar gemologi sebagai empat C iaitu karat (carat), potongan (cut), warna (colour) dan kejernihan (clarity).
Berlian tersebut akan dipamerkan di Hong Kong pada Sabtu ini dan kemudian dipamerkan pula di beberapa bandar utama lain seperti Dubai, Singapura dan Geneva sebelum dibawa ke New York untuk acara lelongan.
Rekod lelongan berlian merah jambu atau berlian berwarna lain yang digilap dipegang oleh berlian seberat 59.6 karat (11.92 gram) yang dijual pada harga AS$71.2 juta (RM314.9 juta) dalam lelongan Sotheby’s di Hong Kong pada 2017.
Catat Ulasan