Pendakian Santai Di Tengah Ibu Kota


BUNYI kicauan burung, udara segar serta pandangan hutan serba hijau sudah pasti memberikan satu nikmat tersendiri kepada warga kota setelah berhari-hari menghadapi hiruk-pikuk dalam kehidupan seharian.

Warga Kuala Lumpur kini tidak perlu lagi memandu jauh untuk menikmati kesegaran hutan hujan sekunder selepas KL East Park dibuka secara rasminya kepada umum pada 19 Februari lalu.

Menariknya, kawasan berkeluasan 21 hektar itu dilengkapi dua pembaca suhu di sepanjang laluan pendakian sejauh dua kilometer menuju lokasi tumpuan yang menawarkan pemandangan mercu tanda ikonik ibu kota.

Dengan itu, pendaki dapat membandingkan suhu di dua tempat berbeza sepanjang pendakian.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke tempat permulaan, pendaki akan menemui sebuah air terjun kecil yang menandakan titik mula dan berakhirnya pendakian.

Sepanjang melalui trek bertangga, pendaki dapat menerokai lebih daripada 300 spesies pokok, herba, pokok renek dan sawit yang dilengkapi dengan pautan internet sebagai rujukan.

Kesemua tumbuh-tumbuhan tersebut memiliki nilai ekologi serta ekonomi yang ditandai secara geografi untuk memudahkan proses pemuliharaan.

Keadaan geologinya yang bersambung dengan Bukit Tabur serta Permatang Kuarza Klang Gates yang terkenal sebagai lokasi pembentukan kuarza terpanjang di dunia itu menambahkan lagi pesona taman ekologi tersebut.

Bagi ciri-ciri keselamatan pula, kelengkapan first aid kit disediakan di beberapa stesen informasi untuk digunakan oleh paramedik ketika waktu kecemasan.


Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah, Sime Darby Property, Datuk Ir. Mohd. Idris Abdullah berkata, buat masa ini, orang ramai hanya boleh mengakses fasa pertama taman itu yang berkeluasan 6.8 hektar.

Katanya, fasa seterusnya dibuka pada masa akan datang.

Menurutnyua ,sebagai usaha ke arah kesejahteraan bersama, pihaknya  berusaha menjana idea baharu dan membina kemudahan lebih baik yang akan membawa perubahan positif kepada generasi akan datang.

Mereka di Sime Darby Property menyedari kepentingan menjaga kesejahteraan rakyat dan komuniti yang tinggal di dalam perbandaran serta kawasan pembangunannya.

Tambahnya, KL East Park merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat itu melindungi biodiversiti.


Katanya, kawasan itu juga menggalakkan keterangkuman dan pembinaan semula ruang untuk masa depan lestari termasuk usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada komuniti.

Syarikatnya  mempunyai komitmen yang kukuh untuk membangunkan projek-projek mesra rakyat serta alam sekitar.

Pihaknya terbuka kepada penyelesaian inovatif yang akan mempercepatkan penciptaan kehidupan masa depan. Ini bagi meningkatkan kualiti hidup dan kelestarian alam semula jadi.

KL East Park dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 6.30 petang dan masuk adalah percuma sehingga 31 Ogos 2023.

Selepas tarikh itu, bayaran akan dikenakan untuk memastikan pemuliharaan flora serta fauna di situ.

Pendaki perlu menempah satu daripada lima slot yang disediakan dalam sehari menerusi laman web, www.kleastpark.com terlebih dahulu.

Ini kerana taman tersebut hanya menerima 80 orang pendaki untuk satu-satu slot.
 

0/komen