Permohonan Neuralink Memulakan Ujian Implan Otak



Neuralink ialah syarikat implan pada otak yang ditubuhkan oleh Elon Musk. Sejak teknologi implan ini diumumkan pada tahun 2017, Musk beberapa kali berkata ujian klinikal ke atas manusia akan disegerakan. Setakat ini ia hanya dilakukan ke atas haiwan seperti khinzir dan monyet. Menurut laporan pihak FDA di Amerika Syarikat telah menolak permohonan Neuralink untuk memulakan ujian ke atas manusia.

FDA meminta Neuralink menyelesaikan pelbagai isu terlebih dahulu sebelum ujian boleh dimulakan. Antaranya mengenai faktor keselamatan bateri Li-ion yang digunakan, risiko wayar implan pergi ke kawasan otak yang lain dan lebih penting sama ada implan boleh dicabut tanpa mencederakan otak pemakai.

Sasaran Neuralink ialah menghasilkan implan yang boleh mengembalikan kemampuan berjalan kepada insan yang lumpuh, mengembalikan ingatan pada pesakit strok, mendengar muzik terus ke kepala dan melakukan perhubungan seakan telepati antara manusia. Musk pernah berkata ia boleh dilihat sebagai Fitbit untuk otak.


Walaupun berkali-kali Musk berkata ujian akan dimulakan ke atas manusia pada tahun ini, Neuralink hanya meminta kebenaran pada FDA pada pertengahan tahun 2022. Syarikat telahpun disiasat oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat kerana dakwaan penderaan haiwan di makmal. Sebanyak 1500 haiwan dilaporkan mati sejak Neuralink memulakan ujian pada tahun 2018. Haiwan yang digunakan adalah khinzir, monyet, kambing biri-biri, dan tikus. 

0/komen