Redmi Note 12 Pro+ Dan Note 12 Pro Dilancarkan


Siri Redmi Note 12 secara rasminya memasuki pasaran Global bermula dengan Eropah. Terdapat beberapa model diumumkan yang merangkumi Note 12 Pro+ 5G dan Note 12 Pro 5G. Bagaimanapun Note 12 Discovery Edition dengan sistem pengecasan pantas 210W dan Note 12 Pro Speed Edition tidak pula ditawarkan.


Perkakasan dalaman untuk kedua-dua peranti adalah sama seumpama model di China sebelum ini. Melaluinya Note 12 Pro+ 5G dan Note Pro 12 5G dilengkapi skrin AMOLED sebesar 6.67-inci FHD+ (2400 x 1080 piksel) dengan kadar segar semula 120Hz. Skrin ini turut mempunyai kemampuan memaparkan 100% daripada warna gamut DCI-P3 dan menyokong Dolby Vision, di sampinh turut dilapisi Corning Gorilla Glass 5 sebagai pelindungan tambahan.

Ini dipadankan pula dengan cip pemprosesan MediaTek Dimensity 1080, memori sehingga 8GB RAM LPDDR4X dan storan dalaman mencapai 256GB UFS2.2. Peranti juga mempunyai kamera hadapan 16MP yang juga membenarkan pengguna merakam video sehingga 1080P/60fps melaluinya. Selain itu, ciri lain yang juga dimuatkan pada kedua-dua peranti ialah bateri 5000mAh, pengimbas cap jari sisi, NFC, pembesar suara stereo dengan Doly Atmos dan bicu audio 3.5mm.


Hal yang membezakan diantara kedua-dua peranti hanyalah pada konfigurasi kamera utama dan sistem pengecasan pantas yang disokong. Misalnya seperti Note 12 Pro+ 5G memuatkan sistem tri-kamera dengan tetapan 200MP OIS (lebar) + 8MP (ultra lebar) + 2MP (makro) dan sistem pengecasan pantas 120W. Sementara itu Note 12 Pro 5G pula dilengkapi dengan kamera 50MP OIS (IMX766) (lebar) + 8MP (ultra-lebar) + 2MP (makro) dan sistem pengecasan pantas 67W.

Kepala pengecas diberikan secara percuma di dalam kotak pembelian untuk kedua-dua peranti ini. Harga jualan di Eropah bermula EUR400 (~RM1915) (6GB/128GB) untuk Note 12 Pro 5G, kemudian meningkat kepada EUR500 (~RM2394) pula untuk Note 12 Pro+ 5G (8GB/256GB). Tiada maklumat mengenai ketersediaannya di Malaysia yang diketahui setakat ini.
 

0/komen