Sembunyi Dalam Gua 14 Tahun Kerana RM101


Seorang lelaki di China yang melarikan wang sebanyak 156 yuan (RM101) dalam satu rompakan di sebuah stesen minyak pada 2009 nekad bersembunyi daripada polis selama 14 tahun di sebuah gua terpencil.

Liu Moufu, yang berasal dari sebuah kampung di bandar Enshi, wilayah Hubei berusia pertengahan 30-an ketika dia merompak bersama abang ipar dan seorang rakan.

Mereka kemudian membelanjakan 60 yuan (RM39) untuk makanan dan bunga api, sebelum mendapat habuan sebanyak 32 yuan (RM20.80) setiap seorang setelah membahagikan wang rompakan. 

Tiga lelaki itu kemudian berpecah tetapi polis berjaya menangkap dua rakan subahat Moufu. 

Moufu kemudian memutuskan untuk bersembunyi bagi mengelak daripada dipenjarakan. Dia melarikan diri ke hutan sementara polis menggeledah rumahnya dan menyoal keluarganya.

Setelah menetap di dalam sebuah gua kecil, Moufu mula memburu dan mencari makanan. Dia ada masanya menyelinap ke kampung asalnya untuk mencuri barang dan berjumpa ibu bapanya selama beberapa minit.

Walaupun isteri dan ibu bapanya berkali-kali cuba memintanya menyerah diri, Moufu sentiasa menolak. Dia bahkan terlepas acara pengebumian bapanya dan majlis perkahwinan anak lelaki selain tidak pernah melihat cucunya.

Moufu yang akhirnya menyerah diri pada bulan lalu berkata: “Saya berusia lebih 50 tahun, isteri saya tidak sihat dan saya mempunyai cucu yang sangat cantik. Saya mahu hidup normal.”

Lelaki itu kemudian membawa polis ke satu kawasan gua kecil yang dianggapnya sebagai rumah selama 14 tahun. Ia terletak jauh di kawasan pergunungan berhutan, kira-kira 10 kilometer dari penempatan manusia. 

Walaupun rompakan itu sudah berlaku 14 tahun lalu, Moufu masih berdepan hukuman penjara tiga tahun untuk jenayah yang dilakukan
 

0/komen