Siri Komputer Riba Gaming Legion Slim Dikemaskini


Lenovo dilihat telah mengemaskini siri komputer riba Legion Slim dengan komponen-komponen baru, dan ini dapat dilihat melalui model-model Legion Slim 7/7i dan Legion Slim 5/5i. Keempat-empat model ini hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 16 inci dengan resolusi 3.2K (165Hz) untuk model Legion Slim 7 dan 2560×1600 (240Hz) untuk model Legion Slim 5.

Bergantung kepada model yang dipilih, komputer-komputer riba ini dikuasakan oleh pilihan CPU AMD Ryzen 9 7940HS ataupun Intel Core i9-13900H dengan pilihan memori DDR5 sebanyak 16GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB.
Kedua-dua komputer riba ini juga merumahkan kad grafik NVIDIA terbaru NVIDIA GeForce RTX 4070 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan-permainan moden pada resolusi dan juga tetapan grafik yang tinggi.

Kesemua komputer riba ini juga hadir dengan ciri kecerdasan buatan Lenovo AI Engine+ yang membantu dalam menetapkan tetapan grafik dalam permainan secara automatik dan memberikan pengguna pengalaman gaming yang terbaik.


Selain daripada kemaskini kepada siri komputer Legion Slim sedia ada, Lenovo turut memperkenalkan sebuah model baru, iaitu Legion Slim 5 yang hadir dengan paparan OLED 14.5 inci dengan resolusi 2880×1800 dan kadar segar semula 120Hz.

Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen 9 7940HS dan hadir dengan penawaran memori dan storan sama seperti Lenovo Legion yang dikemaskini. Ia juga merumahkan pilihan kad grafik NVIDIA sehingga NVIDIA GeForce RTX 4070.

Komponen-komponen berkuasa ini juga memerlukan komponen penyejukan untuk memastikan bahawa ia beroperasi secara optimal, dan Lenovo memperkenalkan sistem penyejukan ColdFront 5.0 yang menggabungkan empat paip haba, penggunaan sebatian haba yang membantu dalam menurunkan haba komponen CPU dan GPU.

Kesemua komputer-komputer riba Lenovo Legion Slim ini hadir dengan rekaan serba nipis sekitar 17.9mm dan mempunyai berat kurang dari 2KG, membolehkannya digunakan dan dibawa kemana-mana sahaja. Dengan bateri sebesar 99.9Wh bergantung kepada model, siri komputer riba ini juga dikatakan mempunyai ketahanan selama 10 jam dengan satu pengecasan penuh.

Lenovo Malaysia mengatakan bahawa tarikh pelancaran dan juga tanda harga untuk komputer-komputer riba ini akan diumumkan kelak.
 

0/komen